AM

Rakyat Malaysia Guna Pangkalan Haram Untuk Rentas Sungai Golok Akan Ditahan - Polis

18/11/2024 08:24 PM

KOTA BHARU, 18 Nov (Bernama) -- Polis akan menahan mana-mana rakyat Malaysia yang menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand khususnya di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Dis ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya akan mula menggunakan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 untuk menahan rakyat Malaysia yang pergi ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan.

"Saya mengarahkan semua pegawai dan anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am membuat tangkapan ke atas rakyat Malaysia yang pergi dan balik dari Thailand menggunakan laluan haram.

“Sehubungan itu, saya hendak mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia yang hendak masuk ke negara jiran perlu menggunakan laluan yang sah iaitu melalui melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata tujuan polis membuat tangkapan itu untuk mengelakkan berlakunya penyeludupan yang berleluasa termasuk melibatkan dadah, pistol dan bahan mentah melalui pangkalan haram.

"Sekiranya mereka masuk melalui ICQS pihak berkuasa boleh membuat pemeriksaan kenderaan dan mengawal aktiviti penyeludupan," katanya sambil menambah kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand juga akan dipertingkatkan dan diperketatkan. 

Beliau berkata rakyat Thailand dan mana-mana warga asing yang masuk melalui pangkalan haram untuk ke Malaysia juga akan ditahan. 

Ditanya mengenai pelajar sekolah dari Thailand dan Malaysia yang keluar masuk menggunakan laluan itu untuk belajar di kedua-dua negara, Mohd Yusoff berkata mereka juga perlu masuk secara sah melalui ICQS.

Beliau berkata perkara berkenaan ada dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa perancangan gerakan negeri berkaitan sempadan negara.

"Kita tahu tahu ramai pelajar di Malaysia belajar sekolah pondok di Thailand dan sebaliknya. Isu berkaitan sekolah ini saya akan bincang dengan kerajaan negeri tapi kesalahan tetap kesalahan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy