EKONOMI

Kerajaan Beri Insentif Bagi Pembangunan Infrastruktur Pengecas EV - MITI

18/11/2024 10:16 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan kekal memberikan insentif untuk pembangunan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV) walaupun tidak dinyatakan secara khusus di dalam Belanjawan 2025. 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata antara insentif yang diberikan ialah program Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) apabila pengendali tapak pengecasan (CPO) yang memenuhi kriteria galakan cukai, boleh mendapat pengecualian cukai dalam bentuk Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus bagi tempoh lima tahun.

Katanya, elaun ini boleh digunakan untuk ditolak sehingga 100 peratus daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran cukai. 

"Di samping itu, insentif dalam bentuk pengecualian cukai pendapatan juga sedang ditawarkan kepada syarikat pengeluar peralatan pengecasan EV iaitu dalam bentuk pengecualian sepenuhnya cukai pendapatan ke atas pendapatan berkanun mulai tahun taksiran 2023 sehingga tahun taksiran 2032," kata MITI.

Kementerian itu berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini bagi menjawab soalan yang dikemukakan Tan Kok Wai (PH-Cheras) berhubung bentuk peruntukan khusus untuk pembangunan infrastruktur pengecas EV dalam Belanjawan semasa. 

MITI juga berkata kerajaan menjangkakan jumlah terkumpul kenderaan jenis elektrifikasi (xEV) yang berada di atas jalan raya akan mencecah sekurang-kurangnya 400,000 unit kenderaan penumpang dan perdagangan dalam tahun 2030. 

Sehingga 30 Sept, 2024, kadar jumlah jualan tahunan yang dicapai bagi kenderaan merangkumi hibrid, hibrid plug in, kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) dan kenderaan elektrik sel bahan bakar (FCEV) ialah 33,319 unit manakala bagi keseluruhan tahun 2023, kadarnya ialah 4.12 peratus atau 35,723 unit.

Dalam pada itu, dalam menyokong pembangunan petak pengecasan EV (EVCB), kementerian berkata anak syarikat Petronas iaitu Gentari dan Tenaga Nasional Bhd juga telah memberi komitmen pelaburan dan membelanjakan kira-kira RM76 juta sehingga Jun 2024. 

Melalui penglibatan kedua-dua syarikat ini dengan suntikan dana yang besar, lebih banyak EVCB dapat dibina di seluruh Malaysia yang turut disokong oleh CPO lain yang turut menyediakan perkhidmatan pengecas EV kepada pengguna awam.

"Perkembangan yang positif ini membantu meningkatkan keyakinan peminat EV untuk membeli dan menggunakan kenderaan jenis ini," menurut MITI.

Pada masa ini, jelasnya terdapat lebih kurang 30 syarikat CPO sedang beroperasi di dalam pasaran tempatan. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy