AM

70 Pemain Industri Pembinaan Cemerlang Diiktiraf Pada MCIEA 2024

19/11/2024 12:20 AM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini mengiktiraf pencapaian cemerlang 70 pemain industri pembinaan pada Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2024.

MCIEA memberi penghargaan kepada seluruh ekosistem industri pembinaan termasuk pemilik projek atau pelanggan, kontraktor, perunding dan projek yang telah menunjukkan elemen kualiti, keselamatan dan kesihatan, produktiviti serta kelestarian dalam operasi mereka.

Pada majlis itu, Pengerusi Lim Seong Hai Capital Berhad Tan Sri Lim Keng Cheng diiktiraf sebagai penerima Anugerah Tokoh Terkemuka atas dedikasinya menerajui persekitaran pembinaan Malaysia selama tiga dekad.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Eksekutif CIDB Datuk Mohd Zaid Zakaria.

Sementara itu, IAQ Solutions Sdn Bhd menerima Anugerah Jurubina Terbaik Tahun Ini bagi projek Kilang Pengujian Pengeluaran Robert Bosch. 

Anugerah Pencapaian Antarabangsa pula dianugerahkan kepada WCT Berhad atas pencapaian memberansangkan bagi projek pembangunan Stadium Lusail di Doha, Qatar sempena Piala Dunia 2022. 

Bagi Anugerah Projek Terbaik-Bangunan (Kategori Utama) dianugerahkan kepada projek Menara Affin di Jalan Tun Razak di sini dan Pejabat Kerajaan Parcel F, Presint 1 di Putrajaya manakala projek Klang Valley Mass Rapid Transit: Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya/Laluan 2 menerima Anugerah Projek Terbaik - Infrastruktur (Kategori Utama). 

MCIEA pada tahun ini turut memperkenalkan lima kategori berprestij iaitu Anugerah Tokoh Terkemuka; Anugerah Jurubina Terbaik (G7); Anugerah Pencapaian Antarabangsa; Anugerah Projek Terbaik dan Anugerah Kontraktor Terbaik.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Mohd Zaid berkata CIDB telah membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat penilaian di tapak pembinaan J. Satine di Wangsa Maju yang dihentikan susulan laporan berlaku letupan di tapak berkenaan baru-baru ini. 

“DBKL telah mengeluarkan arahan ‘stop work order’ kepada kontraktor dan kebiasaannya mereka akan melihat balik kesemua reka bentuk yang telah dibuat oleh ‘independent checker’ bagi memastikan projek itu boleh dilaksanakan atau sebaliknya.

“Jadi kita tunggu dan lihat apa seterusnya. Saya tidak pasti berapa lama kerja-kerja akan dihentikan dan ini akan diputuskan oleh DBKL selaku pihak berkuasa tempatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy