EKONOMI

Tiga Syarikat Pembinaan Raih Anugerah Projek Terbaik Di MCIEA 2024

21/11/2024 04:09 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Tiga syarikat pembinaan terkemuka, MMC-Gamuda KVMRT Sdn Bhd, IJM Construction Sdn Bhd dan Sunway Construction Group Bhd memenangi Anugerah Projek Terbaik di Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2024 baru-baru ini.

Transit Aliran Massa Lembah Klang MMC-Gamuda KVMRT: Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya/Laluan 2 memenangi Anugerah Projek Terbaik – Infrastruktur (Kategori Utama) kerana ia mempamerkan komitmen Malaysia terhadap inovasi dalam kejuruteraan.

Pengurus Projeknya Adil Putra Ahmad berkata projek MRT Laluan Putrajaya yang hampir siap, menampilkan kemunculan sulung mesin pengorek terowong autonomi (A-TBM) pertama di dunia.

Beliau menambah teknologi mesin itu dikuasakan oleh kecerdasan buatan untuk penggalian terowong yang tepat dan selamat menerusi pembentukan geologi yang kompleks seperti batu kapur karstik.

“Digandingkan dengan TBM berketumpatan berubah-ubah, teknologi ini menekankan keupayaan canggih Malaysia, menetapkan standard global baharu bagi inovasi dan ketepatan untuk terowong,” kata Adil Putra.

Beliau menambah MMC-Gamuda juga mengiktiraf sumbangan besar tenaga kerjanya dengan lebih 50,000 individu mengambil bahagian dalam projek itu yang memperoleh pengalaman dan kemahiran tidak ternilai dalam bidang seperti terowong termaju dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).

“Program latihan kami yang meluas telah meninggalkan kesan yang berkekalan, memperkayakan industri pembinaan Malaysia dan membina tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk projek-projek negara pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menambah pasukan MRT Laluan Putrajaya menunjukkan daya tahan dan kebolehsuaian, dan melalui penubuhan pusat kuarantin dan kemudahan ujian makmal yang khusus, syarikat itu telah melindungi kesihatan lebih 20,000 kakitangannya.

“Pendekatan proaktif ini membolehkan kami mengekalkan kemajuan dan menyampaikan projek yang selamat, cekap tanpa menjejaskan keselamatan atau kualiti,” kata Adil Putra.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJM Construction Sdn Bhd Wong Heng Wai berkata anugerah yang diterima itu merupakan detik penting bagi syarikat dan satu pencapaian yang mencerminkan usaha kolektif banyak pihak, fikiran dan visi yang bersatu untuk pembangunan.

IJM Construction menerima Anugerah Projek Terbaik di bawah Kategori Bangunan Utama untuk projek Menara Affin yang terletak di daerah kewangan utama Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX).

"IJM telah membina lima struktur di TRX, bermula dengan Menara Prudential, diikuti dengan Menara HSBC. Kemudian kami membina Menara Affin, dan kami juga membangunkan Singgah Sana. Baru-baru ini, kami menyiapkan Pembangunan Residensi TRX. Saya berharap di masa hadapan kami akan membina dengan lebih banyak lagi," tambahnya.

Pembinaan Menara Affin bermula pada 2018 dan siap pada 2022 -- garis masa yang menyaksikan syarikat itu mengharungi cabaran di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Direka dengan kemampanan sebagai teras, bangunan itu disertakan pensijilan Emas GBI dan Emas LEED, menunjukkan piawaian tertinggi dalam prestasi alam sekitar, menjadikan Menara Affin bukan sekadar sebuah bangunan tetapi juga sebagai satu penanda aras untuk pembangunan hijau di Malaysia.

“Pembina bangunan akan memahami kesukaran pada masa itu: menguruskan gangguan rantaian bekalan, mematuhi keperluan SOP yang dipertingkatkan dan memastikan produktiviti di sebalik kekangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Wong.

Di sebalik halangan itu, beliau berkata IJM Construction kekal fokus, tangkas dan berpaksikan penyelesaian yang menyaksikan usaha menyiapkan Menara Affin mengikut jadual dapat dilakukan dan menepati tahap diharapkan oleh pihak berkepentingan terhadap syarikat berkenaan.

Wong juga menyifatkan pencapaian itu sebagai paparan DNA atau keunikan IJM -- keupayaan kepelbagaian sambil mengekalkan komitmen terhadap kualiti selain keselamatan dan pelaksanaan projek mengikut waktu yang ditetapkan.

“Sudah pasti, kepakaran IJM tidak hanya terhad kepada aktiviti pembinaan. Kami adalah penyedia penyelesaian. Di Menara Affin misalnya, kami memanfaatkan penggunaan BIM secara meluas bagi memastikan reka bentuk tepat yang dapat diselaraskan ke dalam usaha pembinaan.

“Kami turut mengurangkan sisa dan memperkemas penyelarasan dalam setiap fasa daripada peringkat awal sehingga pengurusan kemudahan,” katanya.

Selain itu, bagi Sunway Construction Group Bhd, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulannya Richard Wong Kwan Song berkata pengiktirafan yang diterima bagi projek Kompleks Pejabat Kerajaan Parcel F turut membuktikan kegigihan, kerja keras dan semangat kerjasama keseluruhan pasukan projek itu.

Pada MCIEA 2024, Sunway Construction dinobatkan sebagai Anugerah Projek Terbaik – Bangunan (Kategori Utama) untuk projek Kompleks Pejabat Kerajaan Parcel F di Putrajaya.

Kemudahan itu direka dengan menggabungkan ciri-ciri hijau seperti panel solar penuaian air hujan, reka bentuk bumbung berganda, kisi-kisi pelindung matahari dengan fasad kaca, pematuhan Sistem Bangunan Berindustri sebanyak 70 peratus, penggunaan lampu LED dan sensor, memaksimumkan penembusan waktu siang hari dan lobi utama pengudaraan semula jadi yang menjadi sebahagian daripada pematuhan Emas GBI.

Kerja-kerja pembinaan bagi Parcel F bermula pada 24 Mei, 2016 dan seterusnya memperoleh Sijil Penerimaan pada 25 Nov, 2019.

Wong berkata Sunway Construction juga telah diberi peluang untuk menerajui pembinaan Parcel F dan melakukan penyelenggaraan secara menyeluruh sejak empat tahun lepas dan Sijil Siap Memperbaiki Kecacatan yang dijangka berakhir dalam dua bulan akan datang.

Parcel F kemudiannya akan diserahkan kepada Putrajaya Holdings Sdn Bhd, pemaju induk Putrajaya.

"Projek ini mewakili lebih daripada sekadar pembinaan; ia adalah hasil daripada perancangan yang teliti, reka bentuk yang inovatif dan pelaksanaan secara cekap. Walaupun menghadapi cabaran, kami berjaya mengatasinya menerusi keazaman serta kerja secara berpasukan," kata Wong.

MCIEA 2024 dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi menghargai kalangan pemilik/pelanggan projek, kontraktor, perunding dan projek yang telah menunjukkan elemen kualiti, keselamatan dan kesihatan, produktiviti serta kemampanan dalam operasi mereka.

Anugerah itu telah diperkenalkan pada 2000 dan MCIEA 2024 merupakan penganjuran bagi edisi ke-20.

Selain itu, MCIEA yang juga cetusan idea CIDB Malaysia, mengiktiraf pencapaian pemaju, kontraktor dan projek berprestasi tinggi dan bertujuan menjadi anugerah kecemerlangan perdana bagi semua segmen pembinaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy