AM

Kesan Awal Kanser Tulang Kanak-kanak, Ambil Perhatian Serius Aduan Sakit Lutut, Bahu

19/11/2024 10:14 AM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kanser tulang pada kanak-kanak, khususnya Osteosarkoma dan Sarkoma Ewing memberi cabaran besar dari segi diagnosis dan rawatannya maka pengesanan awal bagi penyakit itu penting untuk diberi perhatian oleh ibu bapa.

Pakar Perunding Hematologi dan Onkologi Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway Dr Yap Tsiao Yi berkata daripada keseluruhan kanak-kanak dan remaja yang menghidap kanser, sekitar tiga hingga lima peratus daripadanya menghidap kanser tulang malignan primer.

“Daripada keseluruhan jumlah itu, Osteosarkoma paling banyak didiagnosis iaitu antara 20 hingga 40 peratus manakala Sarkoma Ewing pula hanyalah satu peratus,” kayanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Osteosarkoma yang muncul sekitar lutut, bahu, buku lali, atau pelvis (tulang pinggul) merupakan kanser tulang paling biasa terjadi sewaktu zaman kanak-kanak dan kebiasaannya berlaku semasa akil baligh.

Sarkoma Ewing pula lazimnya berlaku pada bahagian ekstrimitis (tangan dan kaki), tulang pinggul, dan kadangkala tulang belakang, julat umur penghidapnya lebih besar melibatkan remaja dan adakalanya kanak-kanak .

Dr Yap berkata kedua-dua Osteosarkoma dan Sarkoma Ewing adalah sangat agresif serta tumbuh dan membiak tanpa kawalan dengan sangat cepat,  di Malaysia terdapat lebih 55 peratus kes kanser tulang berada pada tahap empat yang memerlukan kemoterapi yang intensif, pembedahan dan kadangkala radioterapi.

Beliau berkata disebabkan sifat agresifnya, diagnosis awal adalah penting dan pengesanan pada tahap awal secara ketaranya dapat meningkatkan kadar kelangsungan hidup.

"Penyakit setempat mempunyai kadar kelangsungan hidup yang jauh lebih tinggi berbanding penyakit metastatik iaitu kadar kelangsungan hidup boleh menurun kepada 25 peratus berbanding 75 peratus bagi penyakit setempat.

“Simptom Osteosarkoma dan Sarkoma Ewing yang paling biasa ialah sakit pada lutut, bahu, dan anggota ekstremiti yang berterusan, tidak hilang dan boleh membangunkan kanak-kanak daripada tidur serta bengkak atau benjolan dan boleh menjadi petanda kepada sesuatu yang lebih serius,” katanya.

Beliau berkata pengesanan awal dan pendekatan multidisiplin untuk rawatan memberi harapan mencapai hasil lebih baik dan ibu bapa digesa mengambil serius apabila anak-anak mengadu kesakitan  berterusan di lutut, bahu, dan anggota ekstrimitis serta segera mendapatkan nasihat doktor.

“Apabila disyaki menghidap kanser, ujian pengimejan diagnostik ialah alat utama yang digunakan untuk mengesan tumor. Bagi Osteosarkoma, imbasan CT pada paru-paru dilakukan kerana ia sering merebak ke paru-paru.

Sarkoma Ewing pula lebih sukar diramal maka ia memerlukan imbasan PET dan aspirasi sumsum tulang untuk menilai tahap ketumbuhan. Kebanyakan doktor akan memulakan dengan X-ray untuk mengesan ketumbuhan kanser tulang. Sekiranya tisu lembut terlibat, imbasan CT atau MRI mungkin diperlukan,” katanya.

Dr. Yap berkata rawatan selalunya melibatkan gabungan pembedahan, kemoterapi dan radioterapi.

Bagi kanak-kanak dan keluarga, beliau berkata prosedur rawatan boleh membebankan fizikal dan emosi, memakan masa dari enam bulan hingga setahun.

“Kanak-kanak kerap tidak hadir ke sekolah dan berasa terasing disebabkan kesan sampingan kemoterapi, pembedahan dan lama tinggal di hospital.

“Mereka juga mungkin mengalami kemurungan, terutama sekali jika mereka dipulau rakan sebaya sewaktu kembali ke sekolah atau daripada perasaan kehilangan zaman kanak-kanak mereka. Menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu juga boleh menjadi cabaran kepada keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata perubahan daripada mata kasar seperti keguguran rambut kesan kemoterapi atau berjalan tempang kerana memakai prostesis boleh menyukarkan proses menyesuaikan diri ke dalam kehidupan normal sebelum ini.

“Walaupun begitu, tidak seperti golongan dewasa, kanak-kanak tidak menjalani gaya hidup yang menjejaskan kesihatan, menjadikan mereka lebih berupaya untuk menjalani rawatan berbanding golongan dewasa.

“Hal inilah menjadi penyebab pendekatan kami dalam rawatan kanser pada kanak-kanak, untuk memastikan kanak-kanak itu mempunyai peluang terbaik bagi jangka hayat yang lama," katanya.

Pusat Kanser Sunway di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway ialah hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, menawarkan penjagaan secara menyeluruh untuk semua jenis kanser termasuk kanser jenis biasa atau kanser jenis jarang berlaku.

Dilengkapi pasukan kanser yang unggul dan teknologi canggih termasuk robot pembedahan, hospital ini telah merangkul pelbagai anugerah, menduduki tempat ke-26 dalam Hospital Pakar Terkemuka di Asia Pasifik untuk Pediatrik dan 75 teratas bagi kategori Onkologi pada tahun 2023 dan 2024.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy