AM

KPT Anjur Festival Idea Putrajaya, Tawar Lebih 2,000 Peluang Pekerjaan

19/11/2024 11:18 AM

PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Lebih 2,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan sepanjang berlangsung Festival Idea Putrajaya anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini bermula 27 hingga 29 Nov ini.

Menerusi kenyataan hari ini, KPT memaklumkan peluang pekerjaan berkenaan akan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya MADANI dengan kerjasama MYFutureJobs yang melibatkan lebih 100 majikan dari pelbagai industri, antaranya AirAsia, Standard Chartered, Gentari, Bank Simpanan Nasional dan Malaysia Aviation Group.

Karnival berkenaan turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya bagi meningkatkan peluang kejayaan dalam sesi temu duga, menurut kenyataan itu lagi.

“Temuduga secara terus turut ditawarkan bagi mereka yang berkelayakan,” kata KPT.

Kenyataan berkenaan memberitahu karnival yang julung kali diadakan itu akan memanfaatkan individu yang mencari pekerjaan serta membuka peluang kepada pelajar tahun akhir pengajian tinggi bagi meneroka peluang pekerjaan apabila tamat pengajian, sekali gus meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan.

Justeru, KPT menggalakkan orang ramai untuk membawa bersama salinan resume yang telah dikemas kini, sijil dan dokumen berkaitan selepas membuat pendaftaran di laman sesawang  https://eiscentre.perkeso.gov.my/careerfair/socsocareerfair/daftarjobseeker.php?id=NjM=.

KPT menyatakan penganjuran karnival itu merupakan satu inisiatif penting dalam usaha merakyatkan idea dan pendidikan tinggi secara besar-besaran serta mempromosikan Malaysia sebagai pusat wacana intelektual serta inovasi di peringkat serantau dan global.

“Karnival ini turut mengumpulkan pakar, pemikir, pemimpin, ahli akademik, industri dan masyarakat umum untuk membincangkan dan berkongsi idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran semasa dengan pelbagai pengisian program termasuk sidang Idea Malaysia, pameran inovasi dan idea kreatif; perkhidmatan serta karnival kerjaya,” kata KPT.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy