AM

Karnival KPDN Zon Selatan Tawar Jualan 24 Jam Selama Tiga Hari

21/11/2024 05:48 PM

MELAKA, 21 Nov (Bernama) -- Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Zon Selatan akan berlangsung di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini selama 24 jam selama tiga hari bermula 6 Dis ini.

Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar berkata lebih 80 usahawan tempatan terlibat dalam karnival bersempena sambutan ulang tahun ke-40 Kempen Beli Barangan Malaysia itu.

Beliau berkata selain itu, terdapat enam vendor daripada pasar raya besar turut menawarkan Jualan Rahmah membabitkan pelbagai barangan keperluan seperti beras, minyak, gula dan tepung pada harga lebih murah selain 20 usahawan makanan serta minuman menawarkan Menu Rahmah berharga RM5.

"Karnival KPDN Zon Selatan menawarkan jualan langsung lebih 40 jam sekali gus ingin memecahkan rekod Malaysia Book of Record (MBOR) selain memberi peluang kepada pengunjung untuk membeli pelbagai barangan buatan Malaysia dan keperluan asas pada harga lebih rendah antara 15 hingga 30 peratus.

"Jualan berkenaan akan berlangsung tanpa henti selama 24 jam sehari dan harga yang ditawarkan pada waktu siang dan malam adalah berbeza kerana terdapat jualan 'happy hour'," katanya pada sidang akhbar selepas Program Pelupusan Barangan Sitaan KPDN Melaka di sini hari ini.

Norena berkata lebih 40 unit simpanan stok (SKU) barangan akan dijual dan bekalan barangan keperluan asas yang ditawarkan adalah mencukupi sepanjang tiga hari karnival berlangsung.

Mengulas mengenai program hari ini, Norena berkata KPDN Melaka melupuskan pelbagai produk atau barangan antaranya pakaian, aksesori telefon bimbit, air mineral dan ayam sejuk beku menggunakan logo halal tidak sah sepanjang tahun ini membabitkan tujuh kes dengan anggaran nilai RM88,800.

Beliau berkata ia membabitkan kes di bawah pelanggaran Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dagangan 2011 yang telah selesai siasatan dan pendakwaan di mahkamah tahun ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy