AM

Buli Siber: MCMC Terima 27 Laporan Sehari - Fahmi

19/11/2024 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 8,339 laporan dan aduan berkaitan buli siber atau 27 kes sehari bagi tempoh Januari hingga 1 Nov lepas, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata angka itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 10 kes sehari sebelum ini, sekali gus menyaksikan kepentingan penguatkuasaan pelesenan media sosial dalam mewujudkan ekosistem dalam talian yang lebih selamat kepada pengguna platform mereka.

“Dalam plaftorm Facebook tahun lepas, jumlah penipuan dalam talian yang dilaporkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berjumlah RM432 juta, kerugian kepada rakyat Malaysia.

“Bagi jenayah seksual terutama terhadap kanak-kanak melibatkan media sosial, jumlah kes pada 2023 adalah 525 kes, manakala setakat 1 Nov 2024, 815 permohonan (menurunkan kandungan) telah dibuat, yang berkaitan dengan kandungan child sexual abuse material (CSAM - bahan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak) dalam media sosial,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sama ada penguatkuasaan kerangka pelesenan media sosial akan menjejaskan kebebasan untuk mendapat akses kepada kehidupan moden yang banyak bergantung kepada teknologi digital.

Keperluan pelesenan ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial dengan pengguna melebihi 8 juta di Malaysia telah diwartakan pada 1 Ogos lepas dan akan berkuat kuasa mulai 1 Jan tahun depan, dengan pihak berkenaan perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Fahmi berkata di bawah Akta 588, terdapat langkah-langkah perlindungan yang kukuh bagi mengimbangi keperluan kawal selia dan perlindungan kepada hak kebebasan bersuara serta kebebasan maklumat.

Beliau berkata pelaksanaan kerangka pelesenan itu bertujuan menangani isu-isu jenayah dalam talian tanpa menyekat inovasi dan pembangunan, sekali gus memastikan pengguna dapat menikmati pengalaman digital yang lebih selamat.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latif Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) sama ada langkah pelesenan itu akan menjejaskan peniaga kecil, Fahmi berkata langkah berkenaan tidak akan menjejaskan pengguna kerana hanya penyedia perkhidmatan sahaja yang diwajibkan untuk mendapatkan lesen daripada MCMC.

Beliau berkata sekiranya mana-mana platform media sosial gagal dilesenkan menjelang 2025, kerajaan buat masa ini tidak berhasrat untuk menutup platform berkenaan.

Bagaimanapun Fahmi berkata platform yang gagal mendapatkan lesen boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk kompaun sehingga RM250,000 atau kesnya dirujuk ke mahkamah, dengan dendanya boleh mencecah sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun.

Beliau berkata platform yang sudah disabitkan bersalah oleh mahkamah pula, boleh dikenakan denda RM1,000 setiap hari kerana beroperasi tanpa lesen.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy