Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, Nov 19 (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyarankan kerjasama lebih erat dengan India dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan dan perdagangan.
Semasa pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri India Narendra Modi di luar Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil pada Isnin, beliau mendedahkan Indonesia kekurangan kira-kira 160,000 doktor.
“Kami berharap dapat meningkatkan kerjasama dengan India, terutamanya melalui penghantaran profesor dan doktor pakar untuk mengajar di universiti kami,” katanya, menurut satu kenyataan daripada Sekretariat Presiden.
Prabowo juga mengalu-alukan minat yang semakin meningkat daripada syarikat India dalam sektor penjagaan kesihatan Indonesia, khususnya dalam farmaseutikal dan penubuhan cawangan hospital asing.
Beliau menekankan kepentingan meningkatkan bilangan pelajar Indonesia yang belajar di India, serta mengeratkan hubungan pendidikan antara kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin juga membincangkan peluang kerjasama perdagangan, termasuk import beras dari India, dengan Prabowo menyatakan, “Kami berharap dapat memuktamadkan perjanjian import beras dari India.”
-- BERNAMA