EKONOMI

MISC, Gentari Akan Bangunkan Penyelesaian Penghantaran Ammonia Bersih

26/11/2024 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- MISC Bhd dan Gentari Sdn Bhd menjalinkan perkongsian untuk meneroka pembangunan penyelesaian pengangkutan dan apungan bersepadu bagi ammonia bersih, dengan tarikh siap disasarkan pada seawal 2027.

Kedua-dua syarikat memformalkan perkongsian itu melalui satu perjanjian strategik, dengan Gentari diwakili oleh anak syarikatnya Gentari Hydrogen Sdn Bhd.

“Perkongsian ini mewakili komitmen bersama untuk menawarkan penyelesaian menyeluruh yang memperkemas rantaian nilai ammonia bersih di samping menetapkan penanda aras baharu untuk pengangkutan tenaga mampan,” menurut MISC dan Gentari dalam kenyataan bersama pada Selasa.

Kedua-dua pihak menjelaskan usaha itu dilakukan dengan memanfaatkan kepakaran MISC dalam penyelesaian pengangkutan dan apungan serta penekanan Gentari terhadap pengeluaran hidrogen dan ammonia bersih.

Melalui kajian bersama yang komprehensif, perkongsian strategik itu bertujuan mengukuhkan infrastruktur yang diperlukan untuk pengangkutan ammonia, membolehkan sektor tenaga yang lebih luas memenuhi permintaan untuk sumber tenaga alternatif, jelasnya.

Perkongsian itu turut bertujuan menawarkan penyelesaian logistik, pengangkutan dan infrastruktur lengkap bagi ammonia bersih, komponen penting dalam campuran tenaga masa hadapan, terutama untuk penjanaan kuasa yang mampan dan penggunaan industri.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC Zahid Osman berkata penyelesaian yang dibangunkan bersama Gentari Hydrogen itu akan menjadi pencetus perubahan untuk industri maritim, menawarkan pendekatan bersepadu yang meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pelepasan karbon.

Sementara itu, Ketua Pegawai Hidrogen Gentari Michele Azalbert berkata dengan membangunkan penyelesaian pengangkutan ammonia yang inovatif, pihaknya dapat memenuhi keperluan infrastruktur yang penting dan membuka laluan untuk ammonia menjadi pembawa tenaga utama dalam peralihan global ke arah masa depan yang mampan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy