AM

Ahmad Zahid Pelawa Rakyat Hadir Program Dua Tahun Kerajaan MADANI

19/11/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempelawa rakyat Malaysia menyertai pelbagai aktiviti menarik sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Beliau berkata program berkenaan adalah platform terbaik untuk orang ramai terlibat secara langsung dalam usaha reformasi kerajaan selain merasai sendiri manfaat inisiatif yang telah dirangka Kerajaan MADANI.

"Saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk hadir dan bersama-sama, datang beramai-ramai di KLCC dari 9 pagi hingga 6 petang, MADANI di hati, rakyat disantuni," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pelbagai aktiviti disediakan pada program itu termasuk pameran perkhidmatan daripada kementerian-kementerian, reruai usahawan serta Jualan MADANI.

Selain itu pengunjung ditawarkan diskaun 60 peratus bayaran saman trafik oleh Polis Diraja Malaysia, karnival kerjaya serta diskaun tiket kemasukan ke Muzium Negara.

Sebelum ini Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menyasarkan lebih 230,000 pengunjung hadir ke program berkenaan melihatkan kepada lokasi penganjurannya yang strategik.

Program 2TM anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku sekretariat induk dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Unit Pantau MADANI itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy