EKONOMI

Dasar Ekonomi Trump Boleh Tambah RM19.7 Bilion Kepada KDNK Malaysia - Juwai IQI

19/11/2024 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Dasar ekonomi Donald Trump dijangka memberi kesan besar ke atas ekonomi Malaysia, dengan unjuran menunjukkan cara Presiden Amerika Syarikat (AS) itu boleh menyumbang RM19.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI Kashif Ansari berpandangan hala tuju dan matlamat Trump adalah jelas.

“Kita mempunyai rekod Trump sebagai Presiden AS kali pertama sebelum ini, dan kita boleh membuat kesimpulan daripada pasukan yang dipilih untuk kabinet beliau.

“Satu dasar utama Trump yang dijangka digubal adalah lanjutan dan peningkatan tarif ke atas barangan China,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata perkara itu akan menyebabkan syarikat China dan antarabangsa melangkah lebih jauh untuk mengalihkan pembuatan keluar dari China dan menuju ke Asia Tenggara, berbanding yang mereka telah lakukan sejak lapan tahun lepas.

Kashif berkata dasar itu sahaja boleh menyumbang satu mata peratusan tambahan kepada KDNK Malaysia dalam tempoh empat tahun.

“Peningkatan sebanyak mata peratusan tunggal bagi KDNK bermaksud peningkatan RM19.7 bilion dari segi saiz ekonomi.

“Bagi menjadikannya lebih ketara, pertimbangkan bahawa angka itu adalah setara dengan kira-kira 40 peratus daripada kos Laluan Rel Pantai Timur,” katanya.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan KDNK 2024 Malaysia adalah US$440 bilion (US$1 = RM4.48), dengan satu peratus daripada jumlah itu adalah US$4.4 bilion bersamaan dengan RM19.7 bilion mengikut kadar pertukaran mata wang asing semasa.

Beliau berkata pada 2021, tahun terakhir pentadbiran Trump yang pertama, eksport Malaysia ke AS mencecah US$56.2 bilion, peningkatan 27.3 peratus daripada tahun sebelumnya.

Pada tahun itu juga, Malaysia mengeksport US$41 bilion lebih banyak ke AS daripada membeli dari negara itu, satu pertiga lebih banyak daripada tahun sebelumnya.

“Sepanjang tahun-tahun Trump sebagai presiden buat kali pertama, ekonomi Malaysia berkembang setiap tahun, 5.8 peratus pada 2017, 4.8 peratus pada 2018, dan 4.5 peratus pada 2019, sebelum menguncup pada 2020 ekoran pandemik COVID-19,” katanya.

Tarif Trump ke atas barangan China juga mendorong pelaburan berbilion ringgit ke Malaysia dan menjadikannya peserta utama dalam strategi “China Plus One”, dengan kalangan syarikat mengalihkan pembuatan ke luar China untuk mengelakkan tarif AS yang tinggi ke atas barangan China.

Pelaburan itu terus berkembang pada tahun-tahun Biden sebagai presiden, dan pada 2023, pelaburan langsung asing China dan Hong Kong bernilai US$3.4 bilion setiap tahun, lebih tinggi daripada 10 tahun sebelum itu.

Kashif mengingatkan bahawa risiko dan peningkatan inflasi di AS boleh mendorong kadar faedah lebih tinggi.

“Itu boleh menarik modal dari Malaysia dengan pelabur menjangkakan memperoleh pulangan yang lebih tinggi di AS.

“Perkara itu juga boleh menaikkan nilai dolar AS, meningkatkan kos dan mengurangkan daya saing eksport pengeluar Malaysia yang bergantung kepada peralatan import,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy