SUKAN

Pang Ron-Su Yin Kejutkan Pilihan Kedua Tempah Slot Ke Suku Akhir Masters China 2024

21/11/2024 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mencipta kejutan selepas menewaskan pilihan kedua kejohanan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China, untuk mara ke suku akhir Masters China 2024 hari ini.

Pada aksi pusingan kedua di Gimnasium Shenzhen, pasangan ranking ke-23 dunia itu mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengheret perlawanan selama 51 minit, sebelum mencatat kemenangan 16-21, 21-14, 21-19.

Ini merupakan kemenangan pertama pasangan negara terhadap lawan mereka itu, selepas kalah dua kali di Terbuka Australia 2024 dan Terbuka Denmark 2024.

Pang Ron-Su Yin dijadualkan bertemu pasangan Taiwan Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui, yang mereka pernah kalahkan di Masters Orleans 2024.

Turut mengikuti jejak langkah Pang Ron-Su Yin ialah satu lagi pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menumpaskan Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis 14-21, 23-21 dan 21-8. 

Tang Jie-Ee Wei yang turun sebagai pilihan keempat kejohanan, akan bertemu Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dari China.

Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani pula mengalahkan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan 21-18 dan 21-16 dalam masa 37 minit dan akan berhadapan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani (Indonesia).

Sze Fei-Nur Izzudin sebelum ini pernah menumpaskan pasangan Indonesia berkenaan pada Masters Indonesia 2022. 

Beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King pula mengalami nasib berbeza, apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pilihan ketiga kejohanan He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China 10-21, 19-21 dalam 43 minit.

Beregu campuran negara Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien pula, kalah kepada pasangan ketujuh dunia Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong, 21-17, 15-21 dan 9-21.

Dalam pada itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah berjaya menumpaskan Arisa Igarashi-Ayako Sakuramoto dari Jepun 21-18, 18-21, 21-13, untuk mengatur pertemuan dengan Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China pada pusingan suku akhir. 

Rekod sebelum ini menunjukkan Pearly-Thinaah hanya memenangi tiga daripada lapan pertemuan menentang Sheng Shu-Ning iaitu pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023, Terbuka Jepun 2023 dan Terbuka Hong Kong 2024. 

Beregu utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula mengalahkan satu lagi pasangan negara Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong menerusi kemenangan straight set 21-13 dan 21-19. 

Turun sebagai pilihan kelima kejohanan, Aaron-Wooi Yik akan bertemu pilihan ketiga He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China dalam pusingan seterusnya. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy