AM

COP29: Malaysia Gesa Negara Maju Penuhi Tanggungjawab Sedia Dana Iklim

19/11/2024 07:04 PM

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

BAKU (Azerbaijan), 19 Nov (Bernama) -- Malaysia menggesa negara maju memenuhi komitmen dan menunaikan tanggungjawab mereka dengan menyediakan pembiayaan dana yang mencukupi, mudah diakses dan memberikan kesan yang besar terhadap usaha menangani perubahan iklim. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata negara-negara yang mempunyai kapasiti dan kemampuan yang besar perlu menerajui usaha ini dengan penuh aspirasi selain menjadi teladan dalam usaha memerangi perubahan iklim.

Dalam kenyataan negara yang disampaikan pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), Persidangan Pihak-pihak ke-29 (COP29) beliau berkata dunia kini berada di persimpangan dalam hal berkaitan pembiayaan.

"Walaupun mandat dan sumber tersedia namun masih terdapat perbezaan mengenai pengumpulan dan pengagihan dana iklim.

"Amat mengecewakan apabila melihat negara-negara maju membelanjakan trilion dolar untuk peperangan dan konflik manakala negara-negara di Selatan Global dinafikan untuk mendapat pembiayaan bagi menangani perubahan iklim," katanya.

Nik Nazmi berkata Malaysia berbesar hati menerima pembiayaan daripada Dana Iklim Global untuk membantu penyediaan Pelan Adaptasi Kebangsaan yang akan meningkatkan penyelarasan usaha penyesuaian apabila dilaksanakan kelak.

"Jika pembiayaan mencukupi banyak lagi usaha dapat dilaksanakan Malaysia. Pada masa ini, kami sedang merumuskan Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) 3.0 dan kami komited untuk menyerahkannya pada tahun depan.

"Kami menjangkakan NDC 3.0 lebih mantap serta menyeluruh, dan cara pelaksanaan yang sesuai adalah penting dalam memastikan matlamat ini dapat direalisasikan," katanya.

Nik Nazmi berkata kerajaan Malaysia juga telah melancarkan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 tahun ini untuk menyepadukan perkembangan global terkini dan dasar negara yang lain.

Beliau berkata dokumen ini menggariskan laluan negara untuk mencapai sasaran NDC bagi pengurangan 45 peratus dalam pelepasan gas rumah hijau (GHG) dalam ekonomi menjelang 2030 berbanding tahap 2005 dan komitmen jangka panjang untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050.

Nik Nazmi berkata Malaysia juga komited menyerahkan Biennial Transparency Report pertamanya menjelang 31 Dis sebagai memenuhi kewajipan di bawah "Enhanced Transparency Framework".

"Untuk memastikan insiaitif ini dapat disampaikan dengan berkesan, kami sedang menggubal Rang Undang-undang Perubahan Iklim yang akan memperkukuh lagi tadbir urus perubahan iklim di Malaysia dan memudahkan untuk memenuhi kewajipan lain di bawah Perjanjian Paris," katanya.

Beliau berkata Malaysia juga sedang memuktamadkan aturan bagi membolehkan pelaksanaan Artikel 6 Perjanjian Paris untuk sektor swasta yang boleh memanfaatkan semua pihak yang terlibat.

Selain itu, Nik Nazmi berkata Malaysia komited mengurangkan pelepasan dengan lebih berkesan melalui pelaksanaan cukai karbon mulai 2026 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Malaysia mengakui bahawa negara tidak boleh memerangi perubahan iklim secara berasingan maka adalah penting untuk menerima pakai pendekatan multilateralism dalam usaha ini.

"Perhimpunan di sini (COP29) adalah penting untuk memastikan kemajuan rundingan perlu membuahkan hasil dengan pantas kerana masa semakin singkat," katanya.

Penyertaan Malaysia pada COP29 dari 11 hingga 22 Nov di Stadium Baku bertujuan mengukuhkan komitmen terhadap ekonomi hijau seperti digariskan dalam Belanjawan 2025.

Pavilion Malaysia di COP29 bertemakan ‘Shift for Sustainability: Climate Action Now!’ diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy