JENAYAH & MAHKAMAH

Hukuman Tahanan Di Rumah: Perlu Diteliti, Diperhalusi Supaya Pelaksanaan Teratur - KPN

19/11/2024 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah yang dicadangkan kerajaan akan diteliti dan diperhalusi bagi memastikan pelaksanaannya teratur dan keselamatan masyarakat terjamin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata akta baharu yang ingin diperkenalkan itu bertujuan mengatasi kesesakan di penjara, dengan jumlah banduan terkini adalah seramai 87,000 orang berbanding kapasiti penjara yang hanya mampu menampung 74,000 orang sahaja.

“Pada dasarnya PDRM memahami masalah ini dan berharap cadangan (akta tahanan rumah) perlu diteliti serta diperhalusi bagi memastikan pelaksanaannya teratur. Perkara penting sekali adalah keselamatan dan ketenteraman masyarakat umum secara keseluruhannya terjamin,” katanya ketika dihubungi.

Pada 19 Okt lepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata rang undang-undang berkaitan tahanan di rumah akan dibentang tahun depan, dengan Kabinet secara dasarnya sudah memberi kelulusan.

Cadangan tahanan di rumah itu menyasarkan kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu dan layak dipertimbang selepas mereka menjalani proses tapisan, dengan antara lain meliputi pesalah pertama yang tidak melakukan kesalahan berat, wanita mengandung, warga emas dan orang kurang upaya.

Razarudin berkata pihaknya sedia memberikan kerjasama berhubung perkara itu dalam memberikan cadangan dan penambahbaikan dalam sesi libat urus bersama Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan kepentingan semua pihak terutama masyarakat umum tetap terpelihara.

Sementara itu merujuk kepada siasatan kes surat tawaran kerja palsu menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Razarudin berkata polis akan memohon untuk melanjutkan tempoh reman suspek selama empat hari bagi membantu siasatan.

Ia susulan tempoh tahanan reman pengawal keselamatan berumur 32 tahun itu akan berakhir esok.

“Siasatan diteruskan bagi mendapatkan keterangan saintifik dan forensik bagi menganalisis telefon bimbit dan komputer yang digunakan suspek," katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis membuka kertas siasatan kes itu selepas seorang penjawat awam di Sarawak memaklumkan kepada Fadillah menerusi WhatsApp Khamis lepas bahawa dia terbaca dua surat rasmi Jabatan Perdana Menteri di sebuah pejabat agensi kerajaan di Kuching, yang memetik nama Fadillah, menawarkan pelbagai jawatan.

Susulan itu seorang lelaki yang bekerja di sebuah premis kerajaan di Samarahan sejak 2018 ditahan bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy