AM

Mangsa Dirempuh Kereta Api Hantar Anak Ke Sekolah Berjalan Kaki Setiap Hari

19/11/2024 07:23 PM

PUTATAN, 19 Nov (Bernama) -- Mangsa yang maut dirempuh kereta api Allahyarham Lena Gabin menghantar anaknya ke sekolah setiap hari dengan berjalan kaki dari kediamannya di Kampung Muhibbah, Petagas.

Adnan Mohd Said, 47, yang juga sepupu kepada suami Allahyarham berkata setiap hari Lena akan lalu di hadapan rumahnya dan kali terakhir melihat mangsa pada pagi tadi.

Beliau berkata mereka sekeluarga menerima berita kejadian itu melalui aplikasi Whatsapp keluarga kira-kira 1.30 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi nahas yang tidak jauh dari rumahnya.

"Allahyarham hari-hari lalu depan rumah saya dan tengah hari tadi kami menerima berita menyedihkan. Anak bongsunya juga cedera dalam kejadian itu dan sudah dibawa ke hospital.

“Allahyarham yang juga seorang mualaf dan suri rumah mempunyai empat orang anak," katanya kepada pemberita di Kampung Petagas di sini hari ini.

Dalam kejadian tengah hari tadi mangsa maut di tempat kejadian manakala anak lelakinya berusia 11 tahun cedera parah selepas dirempuh kereta api dari Putatan menghala ke Kota Kinabalu ketika melintas landasan di hadapan Kampung Petagas di sini. 

Sementara itu, Naib Presiden I Ahli Majlis Penasihat Pengguna Negara Hashima Hasbullah Hashim yang berada di lokasi kejadian hanya menyedari kemalangan itu berlaku apabila kereta api berkenaan berhenti secara tiba-tiba.

Hashima berkata kebetulan beliau dalam perjalanan untuk mengambil anaknya pulang dari sekolah. 

Beliau berkata tiada bunyi hon daripada kereta api ketika kejadian dan beliau bersama orang ramai  turut membantu kanak-kanak itu sementara menanti ketibaan ambulans.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy