SUKAN

Kim Swee Tidak Sambung Kontrak Bersama Sabah FC

21/11/2024 04:09 PM

KOTA KINABALU, 21 Nov (Bernama) -- Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee memilih untuk tidak lagi bersama pasukan itu, apabila kontraknya berakhir bulan ini.

Kim Swee dalam kenyataan hari ini memaklumkan aksi pertama pusingan 16 saingan Piala Malaysia menentang PT Athtelic FC pada 23 Nov, merupakan perlawanan terakhir beliau selaku pengendali Sang Badak.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) Datuk Shahelmey Yahya dan pengurusan tertinggi Sabah FC, atas kepercayaan serta sokongan penuh kepada beliau sepanjang menerajui pasukan.

“Tempoh 36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini.

“Kepada pemain, saya amat berbangga dengan segala usaha dan pencapaian kita sebagai satu pasukan. Komitmen dan profesionalisme anda sama ada di dalam mahupun di luar padang, sesuatu yang luar biasa. Bekerja bersama anda satu penghormatan besar bagi saya,” katanya.

Pada 5 Nov, SAFA dan Sabah FC dilaporkan menawarkan Kim Swee kontrak lanjutan hingga penghujung musim 2024/2025 iaitu pada April tahun depan, berikutan prestasi memberangsangkan bekas pengendali skuad kebangsaan itu.

Sementara itu Kim Swee turut merakamkan penghargaan atas usaha tanpa henti dan komitmen pegawai sokongan Sabah FC, yang memainkan peranan di belakang tabir dengan kepakaran dan semangat mereka menjadi tunjang kepada segala pencapaian Sang Badak selama ini.

“Akhir sekali, kepada penyokong, saya ingin merakamkan rasa terima kasih yang mendalam. Anda adalah nadi kelab ini, sama ada di stadium atau menyokong dari jauh, sokongan anda sentiasa memberi makna besar kepada saya dan pasukan. Ini akan sentiasa saya kenang.

“Walaupun saya tidak lagi memimpin Sabah FC, saya tetap akan menjadi penyokong setia. Saya berharap dapat melihat kelab ini terus maju dan berjaya di masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy