EKONOMI

MIHAS@Dubai 2024 Mampu Lepasi Sasaran Awal Jualan Eksport RM1 Bilion - TPM Ahmad Zahid

19/11/2024 09:23 PM

Daripada Zarul Effendi Razali

DUBAI, 19 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin ekspo MIHAS@Dubai 2024 mampu melepasi sasaran awal RM1 bilion jualan eksport yang ditetapkan sebelum ini. 

Beliau yang menetapkan sasaran baharu sebanyak RM1.2 bilion berkata ekspo yang julung kali diadakan di luar Malaysia itu menterjemahkan pencapaian penting bagi industri halal negara dengan mencatat kejayaan luar biasa melalui jualan export bernilai RM500 juta pada hari pertama penganjurannya. 

Ahmad Zahid berkata penganjuran pameran itu di luar negara mencerminkan kesungguhan negara untuk mengantarabangsakan industri halal dan memperkukuhkan kedudukan sebagai peneraju global dalam ekonomi halal yang semakin berkembang pesat.

"MIHAS@Dubai 2024 telah meningkatkan ekosistem halal Malaysia dengan menyediakan platform untuk 215 syarikat Malaysia menonjolkan kecemerlangan dan kepelbagaian produk serta perkhidmatan halal buat semua pemain industri yang terlibat. 

"Ekspo ini membuka lembaran baharu bagi perniagaan Malaysia untuk menembusi pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) yang kini mencecah lebih 490 juta pengguna, seterusnya memupuk kerjasama yang bermakna dan mendorong pertumbuhan jangka panjang," katanya pada sidang media penutup lawatan kerja beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), di sini, hari ini.

Sidang media tersebut juga bersempena dengan penganjuran MIHAS@Dubai 2024 oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang berlangsung selama tiga hari dari 18-20 Nov 2024. 

MIHAS@Dubai 2024 diadakan seiring dengan Expo Produk Organik & Asli Timur Tengah, yang disokong oleh Kementerian Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UAE.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Sementara itu, Mohd Mustafa berkata beliau yakin dengan penglibatan aktif agensi dan kementerian yang berkaitan dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan halal akan memastikan pembekal dapat memenuhi sebarang permintaan pasaran.

“Syarikat juga aktif dalam mempromosikan produk tempatan dan di sinilah MATRADE memainkan peranan mencipta peluang yang akan membuat mereka lebih berdaya saing dan menggiatkan lagi aktiviti perkilangan mereka.

“Insya-Allah dengan semua kerjasama kementerian dan agensi kita akan dapat mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.

 Sementara itu Ahmad Zahid berkata MIHAS@Dubai 2024 turut memperlihatkan kepentingan konsep Diplomasi Halal yang akan terus memastikan Malaysia menjadi rakan dagang bermakna di pasaran halal antarabangsa. 

Selain aspek perdagangan, beliau berkata pameran itu juga mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai penyedia produk halal berkualiti tinggi, sekali gus menjadi pemangkin bagi kerjasama masa depan dan pembangunan ekonomi yang lebih besar. 

"Tambahan itu, hubungan perdagangan Malaysia dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kekal kukuh - mencerminkan kerjasama ekonomi yang semakin berkembang," katanya.

Menurutnya, kejayaan MIHAS@Dubai 2024 adalah bukti nyata komitmen teguh Malaysia untuk mewujudkan ekosistem halal global yang inklusif, inovatif, dan berdaya tahan.

Beliau berkata pameran tersebut bukan sahaja memperkukuh hubungan perdagangan antarabangsa tetapi juga membina asas kukuh bagi kerjasama strategik jangka panjang yang mampu mendukung pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Melangkah ke hadapan, saya yakin Malaysia, melalui usaha gigih agensi seperti MATRADE, akan terus memanfaatkan peluang seperti MIHAS untuk memperkukuh kedudukan negara dalam pasaran halal global.

“Ini termasuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, serta memacu kemakmuran yang seimbang dan menyeluruh untuk perniagaan, komuniti, dan generasi masa depan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy