AM

Pengusaha Stesen Minyak Dibenar Gajikan Pekerja Asing Di Kafe, Kedai Serbaneka

19/11/2024 11:02 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kerajaan secara dasar bersetuju untuk memberikan kebenaran kepada pengusaha stesen minyak menggaji pekerja asing bagi kerja-kerja pembersihan serta pencucian di kafe dan kedai serbaneka stesen minyak.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini kerana stesen minyak kini mengalami banyak evolusi dengan adanya kafe dan kedai serbaneka.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan itu tidak melibatkan tambahan kuota pekerja asing.

“Dari tahun 1995 sektor stesen minyak laksanakan khidmat layan diri yang tidak dibenarkan pekerja asing digajikan, ini keputusan Kabinet 1995 tetapi stesen minyak kini ada kafe, kedai dan khidmat lain, itu hakikat sekarang dan evolusi yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali ke-12 di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Sementara itu, Sim berkata mengenai mekanisma penggajian pekerja asing bagi industri berkenaan, mesyuarat telah bersetuju secara dasar bahawa penggajian dibuat secara ‘direct employment’ dan menerusi kaedah pertukaran majikan dalam Petrol Dealer Association (PDM). 

“Dahulunya pekerja ini mungkin tidak digaji secara terus oleh majikan, berapa gaji mereka adalah daripada ejen tetapi kita tukar penggajian terus oleh majikan iaitu syarikat-syarikat yang menguruskan stesen minyak.

“Penggajian terus dan pertukaran majikan ini boleh dibuat selagi seseorang pekerja itu masih lagi dalam tempoh sah,” katanya.

Dalam sidang media sama, Saifuddin Nasution turut mengumumkan kerajaan mengekalkan status pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing sehingga semakan semula tahun pada suku pertama 2025.

Beliau berkata ia berikutan defisit kepada jumlah siling Kementerian Ekonomi yang menetapkan seramai 2.58 juta pekerja asing di negara ini ketika ini memberikan jumlah 45,000 sahaja.

“Siling 15 peratus daripada 17.2 juta pekerja (workforce) di negara ini memberikan jumlah 2.58 juta dan jawatankuasa ini dalam luluskan kuota di pihak KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) atau proses selanjutnya di pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri) dipandu oleh angka ini.

 

 

“Oleh itu, kita ambil keputusan kekalkan pembekuan sehingga mesyuarat berikutnya yang dijadualkan pada suku pertama tahun hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Saifudin Nasution berkata kedua-dua kementerian juga bersetuju secara dasar membenarkan majikan menggaji banduan sekali gus membantu mempercepat proses asimilasi mereka dalam masyarakat dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Beliau berkata pelaksanaan perkara itu juga dijangka mengurangkan lebihan lapan peratus banduan di seluruh negara kerana pada ketika ini terdapat 87,000 penghuni di penjara sedangkan kapasiti boleh menampung seramai 74,000 penghuni.

“Pilot projek telah pun berjalan dan hasil libat urus Jabatan Penjara Malaysia dengan majikan mendapati terdapat 400 majikan yang mengambil bahagian sebelum ini menerima baik peluang menggajikan prospek (penghuni penjara).

“Ada kriterianya. Jika mereka terlibat kes bunuh dan rogol (contohnya) tidak akan diambil. Ini melibatkan kes-kes yang lebih ringan. Dalam tahun 2025, ada sekitar 20,000 prospek yang boleh diambil bekerja,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy