JENAYAH & MAHKAMAH

Tun Daim Dilepas Dan Dibebaskan Daripada Pertuduhan Gagal Isytihar Harta

20/11/2024 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin daripada pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Hakim Azura Alwi membuat perintah itu mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.

"Mahkamah dengan ini memerintahkan Allahyarham Tun Daim dilepaskan dan dibebaskan.

“Mahkamah juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga arwah ditempatkan bersama para solihin,” kata Azura.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak lagi meneruskan prosiding terhadap Daim susulan kematiannya.

"Pihak pendakwaan dengan ini mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah tidak berniat untuk meneruskan prosiding ke atas beliau dan kami serahkan kepada budi bicara mahkamah.

"Kami tidak akan meneruskan prosiding ke atas Tun Daim kerana tertuduh telah meninggal dunia, namun kami ada menerima surat daripada Tetuan Raj & Sach, iaitu mereka membantah untuk memberhentikan prosiding ini," kata Wan Shaharuddin.

Wan Shaharuddin berkata kuasa untuk meneruskan kes terletak pada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Apabila ada pertuduhan, maka perlu ada pihak yang dituduh," katanya.

Daim meninggal dunia pada usia 86 tahun di sebuah hospital swasta, di sini pada 13 Nov lepas.

Sementara itu, peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar berkata beliau menerima arahan supaya kes berkenaan diteruskan kerana Daim mahu membersihkan namanya.

Beliau berkata pertuduhan itu tidak sepatutnya dibiarkan tergantung memandangkan Allahyarham tidak lagi berpeluang untuk membersihkan dirinya.

Hakim Azura memerintahkan wang jaminan RM280,000 dikembalikan kepada penjamin.

Pada 29 Jan lepas, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Daim didakwa gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 Nov 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpangkat Pesuruhjaya pada 14 Nov 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy