EKONOMI

7,900 Syarikat Guna E-invois, 87 Juta Dikeluarkan Setakat 19 Nov

20/11/2024 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Sebanyak 7,900 syarikat telah menggunakan sistem e-Invois dan 87 juta e-Invois telah dikeluarkan melaluinya setakat 19 Nov, 2024, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata pengeluaran e-Invois itu melibatkan syarikat pembayar cukai bagi fasa pertama pelaksanaan sistem itu serta penyertaan lebih awal secara sukarela oleh syarikat yang sepatutnya dilakukan pada fasa dua dan fasa tiga.

Berdasarkan kajian yang dilakukan kementerian itu, kos yang ditanggung bagi penggunaan sistem e-Invois adalah antara RM3,000 hingga RM30,000, katanya.

“(Ia berbeza) bagi syarikat yang dikategorikan dalam fasa satu dan fasa dua, kos yang terlibat adalah lebih tinggi disebabkan saiz dan kekompleksan syarikat tersebut,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai impak dan kos pelaksanaan sistem e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Fasa pertama pelaksanaan e-Invois membabitkan syarikat besar dengan perolehan jualan tahunan melebihi RM100 juta manakala fasa kedua yang bermula 1 Jan, 2025 membabitkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta.

Bagi fasa ketiga bermula 1 Julai, 2025, pelaksanaan e-Invois diwajibkan kepada semua kategori pembayar cukai.

Menjawab soalan tambahan mengenai tempoh pelaksanaan sistem e-Invois, Lim berkata kerajaan memberi tempoh peralihan selama enam bulan bagi memberi kelonggaran untuk syarikat mengeluarkan e-invois yang disatukan, serta e-Invois yang menggabungkan semua transaksi setiap bulan.

“Sepanjang tempoh peralihan ini, penalti tidak akan dikenakan kepada syarikat yang mengeluarkan sekurang-kurangya e-Invois yang disatukan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy