SUKAN

Zii Jia Berisiko Hilang Slot Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF

20/11/2024 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia berdepan risiko terlepas slot Kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 apabila tewas pada pusingan pertama Masters China 2024.

Dalam perlawanan di Gimnasium Shenzhen hari ini, Zii Jia selaku pilihan ketujuh kejohanan terpaksa tunduk kepada wakil India, Lakshya Sen 14-21, 21-13, 13-21 selepas bertarung selama 57 minit. 

Kekalahan tersebut sedikit menggugat peluang atlet kelahiran Alor Setar, Kedah itu, kini di kedudukan keenam dengan 74,940 mata, untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir yang membariskan lapan pemain ranking teratas di Hangzhou, China bulan hadapan.

"Hari ini dia (Lakshya) beraksi sangat baik terutama dari segi corak bertahan. Ini peluang terakhir untuk saya layak dan saya tahu saya perlu bergantung kepada beberapa keputusan pemain lain. 

"Jika ditanya kepada saya secara peribadi, saya berada dalam kedudukan yang sangat baik untuk layak dan berdoa agar saya layak ke Jelajah Dunia Akhir," katanya dalam kenyataan BWF. 

Zii Jia kini bergantung nasib kepada keputusan perlawanan membabitkan pemain lain antaranya Koki Watanabe dari Jepun yang mengumpul 71,130 mata dan kini berada di kedudukan ketujuh kelayakan Jelajah Dunia Akhir.

Pemain China Li Shi Feng yang turut terkandas di pusingan pertama kini berada di kedudukan kelapan (70,440) Lin Chun Yi dari Taiwan di kedudukan kesembilan (68,500).

Dalam pada itu, beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Taiwan Liu Kuang Heng-Jheng Yu Chieh 21-17, 21-12, untuk bertemu Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China.

Satu lagi pasangan beregu campuran negara Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien turut mara selepas mengetepikan pasangan Algeria, Koceila Mammeri-Tanina Violette Mammeri 21-15, 21-13 sekali gus dijadualkan bertemu wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy