KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- C4Cinta, arahan pembikin muda Karthik Shamalan, mencipta penanda aras baharu bagi industri filem Tamil tempatan apabila mengutip lebih RM1.13 juta hanya selepas empat hari ditayangkan, kutipan tertinggi bagi filem Tamil di Malaysia.
Filem yang diterbitkan secara bersama oleh SCIFILM dan AVLT Production itu berjaya menawan hati penonton dengan naratif segar tentang cinta dan perhubungan.
Dibarisi oleh bintang-bintang berbakat, antaranyaPashini Sivakumar, Viknesh Naidu, Ravin Rao Santheran, Vijay Naidu, Dishaaleny dan Loga Varman, C4Cinta dipuji kerana jalan cerita berinovasi selain menampilkan lagu-lagu merdu gubahan Shamesan Mani Maran, menambahkan lagi daya tarikan filem itu buat penonton pelbagai bangsa.
“Rekod ini merupakan pencapaian signifikan bagi industri filem Tamil tempatan yang berdepan pelbagai cabaran dalam meraih pengiktirafan arus perdana sejak beberapa tahun belakangan ini. Kejayaan C4Cinta dilihat sebagai testimoni akan potensi filem Tamil tempatan untuk berkembang, bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga global,” kata pengedar filem Pocketplay Films, dalam kenyataan kepada Bernama.
Menurut kenyataan itu, sambutan luar biasa terhadap filem berkenaan juga menunjukkan peningkatan permintaan terhadap kandungan yang pelbagai dan berkualiti dalam industri filem Malaysia.
“C4Cinta merupakan saat-saat membanggakan bagi komuniti pembikin filem Tamil Malaysia dan penghargaan kepada pelakon tempatan,” kata Poketplay Films.
Filem itu ditayangkan di pawagam di seluruh negara sejak 21 Nov lalu.
-- BERNAMA