EKONOMI

Belanjawan 2025 Sarawak Peruntuk RM1.31 Bilion Bagi Infrastruktur, Pembangunan Pelabuhan

20/11/2024 06:23 PM

KUCHING, 20 Nov (Bernama) -- Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Sarawak diperuntukkan RM1.31 bilion menerusi Belanjawan 2025 negeri, peningkatan ketara sebanyak 64 peratus daripada RM799.52 juta yang disediakan bagi tahun ini.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata rangsangan besar itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk mempercepat pembangunan infrastruktur dan menambah baik kesalinghubungan di seluruh Sarawak.

Sebanyak RM1.01 bilion akan disalurkan kepada infrastruktur tanah, infrastruktur sungai (RM83.3 juta), bangunan kerajaan (RM211.59 juta) dan kemudahan awam (RM5.08 juta), katanya semasa menggulung perbahasan belanjawan negeri di Dewan Undangan Negeri di sini, Rabu.

Berdasarkan Rancangan Malaysia ke-12, MIPD telah ditugaskan untuk melaksanakan 496 projek bernilai RM40.83 bilion, merangkumi 298 projek jalan raya bernilai RM27.17 bilion, 69 jambatan (RM5.37 bilion), 105 bangunan (RM3.54 bilion), 22 struktur sungai (RM4.4 bilion) dan dua lapangan terbang (RM350.82 juta), katanya.

Beliau berkata sehingga kini, 203 projek telah disiapkan, 109 projek dalam pembinaan, dan 184 projek di peringkat prakontrak.

MIPD melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak turut bertanggungjawab melaksanakan 276 projek bernilai RM3.48 bilion di bawah enam agensi pembangunan, katanya.

Uggah yang mengakui cabaran yang ditimbulkan oleh perubahan iklim berkata langkah proaktif kerajaan untuk mengurangkan kerosakan berkaitan bencana terhadap infrastruktur telah ditetapkan.

Beliau berkata sebanyak RM29 juta diperuntukkan pada 2023 untuk pembaikan kecemasan bagi jalan dan jambatan, manakala tambahan RM11.2 juta diluluskan bagi kerja-kerja kecemasan kecil untuk menangani gangguan berkaitan iklim.

“Penyediaan pendanaan untuk projek-projek ini menunjukkan komitmen kuat kerajaan Sarawak untuk membantu penempatan yang terjejas akibat bencana alam dengan cepat, membaiki infrastruktur dan kemudahan yang rosak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy