AM

Amaran Hujan Berterusan Tahap Buruk Di Tiga Negeri Hingga 23 Nov

20/11/2024 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan tahap buruk di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga 23 Nov ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan lokaliti terlibat di Kelantan merangkumi Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai manakala di Pahang meliputi Jerantut, Kuantan, Pekan serta Rompin.

Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan tahap waspada di Kelantan, Pahang serta Mersing dan Kota Tinggi di Johor juga sehingga 23 Nov ini.

Kawasan yang tersenarai di Kelantan ialah Gua Musang manakala di Pahang, melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera.

“Amaran Hujan Berterusan tahap waspada turut berkuat kuasa bermula 23 sehingga 25 Nov di Sabah melibatkan kawasan seperti Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat,” menurut kenyataan itu.

MetMalaysia memaklumkan orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan. 

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy