KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan Tourism Malaysia hari ini menandatangani memorandum kerjasama (MoC) untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) serta melancarkan pengalaman perjalanan pelancong dengan memanfaatkan gabungan kekuatan kedua-dua entiti itu.
Menerusi MoC berkenaan, ERL dan Tourism Malaysia akan bekerjasama untuk mempromosikan KL TravelPass, satu tiket bagi semua pengangkutan dan tawaran lain melalui pelbagai saluran digital seperti laman web, platform media sosial, skrin digital dan iklan digital.
Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor melahirkan rasa syukur kerana tiket semua dalam satu yang menggabungkan perkhidmatan KLIA Ekspres dan perjalanan tanpa had selama 2 hari di laluan LRT, MRT dan KL Monorel itu akan dipromosikan kepada pelancong global oleh Tourism Malaysia.
“Setelah kami menandatangani MoC, kami teruja untuk mula mempromosikan KL TravelPass kepada pelancong menjelang VM2026.
“Sebaik mereka tiba di Terminal 1 atau 2 KLIA, pelancong terus menggunakan KL TravelPass untuk menerokai Kuala Lumpur dengan lancar, tanpa keperluan dan kerumitan untuk tiket perjalanan berasingan," katanya dalam kenyataan bersama ERL dan Tourism Malaysia hari ini.
Noormah berkata KL TravelPass juga membolehkan pengguna menikmati penjimatan hebat dengan melancong ke Kuala Lumpur secara berkumpulan menerusi Pakej Keluarga ERL dan Pelan Penjimat Kumpulan, selain mendapatkan pertukaran pengangkutan dari pintu ke pintu, terus dari hotel ke lapangan terbang melalui Perkhidmatan VIP.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy menekankan kepentingan kebolehcapaian yang lancar dalam meningkatkan pengalaman pelancong di negara ini.
“Kebolehcapaian adalah penting untuk memastikan pelancong dapat menikmati sepenuhnya tarikan Malaysia, tanpa perlu bersusah payah menyelesaikan masalah pengangkutan. Dari saat mereka tiba, mereka perlu dapat menikmati tarikan di Malaysia dan itulah yang ingin dicapai menerusi perkongsian ini.
“Dengan bekerjasama melalui inisiatif dan aktiviti bersama, kami berhasrat untuk mempromosikan lagi produk pelancongan Malaysia yang pelbagai dan meletakkan negara sebagai destinasi pelancongan utama. Menerusi kerjasama dengan ERL, kami harap dapat memanfaatkan kepakaran mereka dalam pengangkutan untuk meningkatkan keselesaan pelancong dan menyokong aspirasi VM2026,” katanya.
Manoharan berkata kerjasama itu bukti kepada sinergi antara sektor awam dan swasta.
KL TravelPass boleh didapati untuk perjalanan sehala dan pergi balik bagi perkhidmatan KLIA Ekspres.
Pelancong yang berminat boleh melayari www.KLIAekspres.com untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai KL TravelPass serta tawaran dan promosi terkini ERL.
-- BERNAMA