JENAYAH & MAHKAMAH

Kereta Terbabas, Empat Maut Dalam Kemalangan Di Putrajaya

21/11/2024 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Empat individu termasuk dua wanita maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas berhampiran sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata siasatan awal mendapati kemalangan pada 1 pagi itu berlaku apabila kenderaan yang dipandu dari arah Kajang hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang jalan antara susur masuk pusat komersial berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan tiga lagi penumpang meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat keempat-empat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan menghubungi Pegawai Penyiasat Ins Muhamad Haziq Ab Karim di talian 017-9076260 dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata mangsa yang maut adalah Nurulhuda Ramli, 41, Amizan Sapiie, 27, Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24, dan Nizasuhana Ujang, 28.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy