EKONOMI

Johor Bentang Belanjawan 2025 Dengan Lebihan RM5.12 Juta

21/11/2024 04:15 PM

ISKANDAR PUTERI, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Johor 2025 yang merupakan belanjawan lebihan sebanyak RM5.12 juta pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Belanjawan bertemakan “Maju Johor, Rakyat Sejahtera” itu merupakan belanjawan lebihan yang ketiga berturut-turut dibentangkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan unjuran hasil sebanyak RM2.005 bilion pada tahun depan manakala unjuran perbelanjaan dianggarkan RM1.999 bilion.

“Daripada unjuran perbelanjaan itu, sejumlah RM1.271 bilion diperuntukkan bagi tujuan belanja mengurus manakala sejumlah RM728 juta pula diperuntukkan bagi tujuan belanja pembangunan.

“Belanjawan Johor 2025 digubal dengan berpegang kepada prinsip bahawa segala perancangan dan pelaksanaan adalah demi kebajikan dan kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 di Kota Iskandar di sini.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap berkata belanjawan itu juga berpegang kepada enam teras Maju Johor yang merangkumi 244 inisiatif.

Katanya hasil kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, Johor telah merekodkan terimaan hasil melebihi RM2 bilion bagi tahun ini yang merupakan rekod tertinggi dicatat dalam sejarah.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan atas pengumuman peruntukan RM4.8 bilion bagi perbelanjaan pembangunan Rolling Plan Kelima (2025) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk Johor yang merangkumi 143 projek-projek baharu dan 433 projek sambungan,” katanya.

Menurut Onn Hafiz, ekonomi Johor terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan ekonomi mencatatkan perkembangan 4.1 peratus pada 2023, melepasi pertumbuhan nasional 3.6 peratus dengan nilai KDNK sebanyak RM148.2 bilion pada 2023 berbanding RM142.4 bilion 2022.

“Prestasi memberangsangkan ini juga dibuktikan menerusi peningkatan jumlah import sebanyak 16 peratus kepada RM290 bilion berbanding tahun lepas, serta peningkatan import dan eksport sebanyak RM561.6 bilion sekali gus menjadikan Johor sebagai penyumbang perdagangan kedua terbesar Malaysia.

“Selain itu, sektor pembinaan terus merekodkan pertumbuhan memberangsangkan dengan nilai RM17.1 bilion berbanding RM10.8 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas dan kadar pengangguran terus kekal pada kadar yang rendah iaitu 2.3 peratus pada suku ketiga tahun ini,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh dua tahun Johor telah menarik pelaburan berjumlah RM113.7 bilion sekali gus menghasilkan lebih 35,000 peluang pekerjaan baharu, manakala inisiatif Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dijangka menjana lebih 100,000 peluang pekerjaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy