EKONOMI

Pulau Pinang Digesa Laksana Aktiviti Bernilai Tinggi Untuk Kekal Kompetitif - Chow

21/11/2024 05:03 PM

GEORGE TOWN, 21 Nov (Bernama) -- Pulau Pinang digesa melaksanakan aktiviti bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu, pembangunan teknologi dan inovasi produk baharu yang memperkenalkan ciri atau teknologi menarik, kata Ketua Menterinya Chow Kon Yeow.

Chow berkata pelaksanaan itu bagi memastikan negeri berkenaan terus berdaya saing dalam pasaran semikonduktor global.

Beliau menekankan apabila dinamika global berkembang, dipacu oleh perubahan geopolitik, sekatan perdagangan dan kemajuan pesat dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Pulau Pinang mesti bangkit untuk berdepan dengan cabaran baharu.

Katanya, Pulau Pinang yang berkembang menjadi pusat global bagi pembuatan dan teknologi sepanjang 52 tahun lepas, telah memberikan sumbangan besar kepada pertumbuhan industri Malaysia.

“Pembaharuan ini adalah bukti kepada keupayaan kita untuk menyesuaikan diri, menarik pelaburan asing yang besar dan menggalakkan pelaburan semula,” kata Chow dalam satu sidang media bagi mengumumkan penganjuran Penang International Science Fair 2024 (PISF) di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif bertujuan melahirkan generasi baharu jurutera dan profesional teknikal seperti Akademi Reka Bentuk Cip di bawah Pelan Tindakan Bakat STEM Pulau Pinang.

Chow berkata perjalanan ini bermula lebih awal dengan menekankan kepentingan asas yang kukuh dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di peringkat pendidikan rendah serta menengah.

“Dalam hal ini, saya mengucapkan tahniah kepada Kluster Sains Pulau Pinang (PSC) atas usaha cemerlang dalam mempromosikan pendidikan STEM yang menjadikan pembelajaran lebih mudah diakses, menarik dan memberi kesan kepada ribuan pelajar,” katanya.

Chow berkata PSC dengan kerjasama kerajaan negeri akan menganjurkan PISF 2024 sebagai tunjang kepada komitmen Pulau Pinang untuk memajukan inovasi dan teknologi yang akan berlangsung dari 30 November hingga 1 Dis, 2024 di SPICE Arena.

Pameran ini dijangka menarik antara 40,000 hingga 60,000 pengunjung dan akan menawarkan lebih 30,000 slot bengkel praktikal dengan 53 jenis bengkel, pameran industri terkini serta pertandingan yang dinamik.

Kata Chow, disokong oleh 71 syarikat, organisasi dan institusi, PISF 2024 adalah bukti kepada apa yang boleh dicapai apabila pendidikan, industri dan komuniti bersatu.

“Tema tahun ini, ‘Menginsipirasi Inovasi di Mana-Mana (pada Zaman AI)’ akan menyorot potensi pembaharuan AI dan keperluan untuk menjadikan teknologi ini boleh diakses oleh semua,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy