KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Seorang wanita warga Indonesia dan tujuh lelaki warga Cina mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan bermain judi di sebuah rumah perjudian terbuka, minggu lepas.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap Wang Xianxiang, 36; Xie Zhixiang, 26; Huang Zuyong, 47, dan Lai Zhihui, 43, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dan memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal bayar denda.
Majistret M.S. Arunjothy pula menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap Citra Suwardi Yanti, 34; Luo Hanshan, 26; Xiao Jie, 28, dan Wang Zhichun, 44, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan sama dan semua tertuduh diperintahkan dipenjara sebulan jika gagal bayar denda.
Menurut pertuduhan pilihan itu, kelapan-lapan mereka didakwa bermain judi di sebuah rumah perjudian terbuka di kondominium di Lorong Kuda, Dang Wang di sini pada 11.10 malam, 14 Nov lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau hukuman penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.
Peguam Mohd Shamril Afzan Mohamed Hasim mewakili Xianxiang, Xie, Huang dan Lai manakala peguam AP Chandra mewakili Citra, Luo, Xiao dan Zhichun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ravindejit Kaur dan Amritpreet Kaur Randhawa.
-- BERNAMA