AM

Mangsa Bot Karam Di Kapit Ditemukan Lemas

21/11/2024 09:19 PM

KAPIT, 21 Nov (Bernama) -- Jurumudi yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di hilir Jeram Pelagus pada Selasa lepas ditemukan lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) petang tadi. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit yang juga komander operasi SAR Timothy Barat berkata mayat Bubut Benang, 57, yang juga Tuai Rumah ditemukan kira-kira 3.30 petang di Nanga Makoh.

Mayat kemudian dibawa ke jeti Kapit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

“Dengan penemuan itu, operasi SAR yang memasuki hari kedua ditamatkan pada 4.50 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi hari ini yang bermula 8 pagi tertumpu di kawasan lingkungan 30 kilometer dari lokasi kejadian. 

Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan hilang manakala isteri dan pekerjanya selamat selepas bot yang mereka naiki terlanggar batu di hilir Jeram Pelagus ketika dalam perjalanan dari Rumah Belaja di Nanga Benin menuju ke pekan Kapit.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy