SUKAN

'Ghaddar Kelate ' Mahu Guna Pengalaman Bersama Skuad Kebangsaan Bantu KDN FC

21/11/2024 06:28 PM

KOTA BHARU, 21 Nov (Bernama) -- Pengalaman bersama skuad Harimau Malaya akan dimanfaatkan sepenuhnya Fazrul Amir Md. Zaman bagi membantu Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada perlawanan pertama suku akhir Piala Malaysia menentang Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, esok.

Fazrul Amir atau dikenali sebagai "Ghaddar Kelate" berkata momentum ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan pada perlawanan persahabatan menentang Laos dan India sebelum ini perlu diteruskannya bagi memastikan KDN FC meraih bekalan selesa sebelum perlawanan timbal balik.

"Satu pengalaman yang tidak dapat digambarkan setelah diberikan peluang bersama pasukan kebangsaan. Saya akan menggunakan pengalaman ini sebaik mungkin pada pertemuan dengan Perak FC.

"Apa yang penting momentum saya dapat diteruskan sekali gus mampu membantu KDN FC meraih bekalan selesa sebelum perlawanan timbal balik bertemu Perak FC di tempat lawan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Fazrul Amir menjadi tumpuan peminat bola sepak Kelantan apabila beliau diberi kepercayaan untuk menyarung jersi kebangsaan pada perlawanan antarabangsa walaupun bermain sebagai pemain gantian.

Beliau berkata pasukannya harus berhati-hati dan tidak boleh melakukan kesilapan mudah kerana pasukan lawan sudah tentu mempunyai ramuan tersendiri, selain menerapkan segala latihan yang diajar oleh jurulatih untuk melakukan kejutan ke atas Perak FC.

"Kami perlu berjuang habis-habisan dan cuba mendapatkan bekalan agar perjalanan perlawanan kedua menjadi lebih mudah serta kurang tekanan," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy