SUKAN

Hannah Harap Kajian Program PPBN Siap Sebelum Hujung Tahun Ini

21/11/2024 07:44 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berharap laporan kajian prestasi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang dilakukan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dapat disiapkan sebelum hujung tahun ini.

Hannah berkata mesyuarat pertama yang dipengerusikannya telah diadakan semalam bersama pihak terlibat seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), PPBN dan pakar daripada AFC bagi membincangkan perkara berkaitan.

Beliau berkata hasil kajian itu penting bagi memastikan pihaknya dapat melihat gambaran keseluruhan mengenai program berkenaan sama ada perlu penambahbaikan atau sebaliknya.

“Saya percaya bila mereka siap nanti, kita akan kongsikan hasil penemuan itu. Saya nak laksanakan secepat mungkin untuk pastikan saluran bekalan pemain itu sampai ke peringkat Harimau Malaya atau pasukan kebangsaan itu wujud. 

“Kalau tak wujud saluran itu, rakyat ataupun pembayar cukai akan selalu merasakan bahawa duit yang kita belanjakan sebenarnya satu pembaziran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan KBS Masters 2024 di Majlis Sukan Negara di sini hari ini.

Sebelum ini, isu keberkesanan program PPBN dipersoalkan selepas skuad bawah 16 tahun (B-16) negara gagal layak ke Piala Asia B-17 2025 baru-baru ini.

Pada aksi kelayakan yang berlangsung di Laos bulan lepas, pasukan negara menamatkan saingan kelayakan Kumpulan H di kedudukan kedua dengan mengutip satu mata selepas mencatat masing-masing satu seri dan satu kalah.

Mengikut format pertandingan, hanya 10 juara kumpulan dan lima pasukan yang berada di kedudukan kedua terbaik layak ke Piala Asia B-17 yang akan berlangsung di Arab Saudi tahun depan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy