KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Karnival Kerjaya MYFuture Job antara acara yang mendapat sambutan hangat pengunjung Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Sebanyak 3,000 peluang pekerjaan melibatkan 40 majikan, termasuk Honda, Avisena Healthcare dan The Ascott ditawarkan dalam program yang bertemakan 'MADANI di Hati, Rakyat Disantuni', yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Ketua Unit Pengurusan Program dan Acara Karnival Kerjaya Fadhlina Adam berkata setakat 3 petang ini, hampir 1,000 pencari kerja telah menghadiri Karnival Kerjaya MYFuture Job pada program 2TM, yang juga bertindak serampang dua mata untuk majikan mencari pekerja berkebolehan.
Selain itu, pencari kerja dari kategori orang kurang upaya (OKU) juga berpeluang untuk mendapatkan pekerjaaan yang disediakan oleh beberapa majikan.
"Bagi pencari kerja yang tidak tahu ienis pekerjaan apa ingin dipohon, kami turut menyediakan kaunter kaunseling kerjaya yang ditugaskan untuk memadankan pekerjaan berdasarkan kelayakan mereka.
“Enam kaunselor bertugas di kaunter tersebut, memberi peluang kepada pencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan terbaik,” katanya
Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Dalam Negeri (KDN) Mohd Khair Kamarudin berkata reruai KDN menerima sambutan meriah daripada pencari kerja pelbagai peringkat, sejak awal pagi.
Katanya KDN mempunyai 200 kekosongan jawatan ‘Malaysia Short-term Employment Programme’ atau MySTEP serta 184 kekosongan jawatan Pembantu Keselamatan KP1.
“KDN satu-satunya kementerian yang buka reruai di Karnival Kerjaya, dan awal pagi lagi, ramai pencari kerja telah bertumpu di tempat kami.
“Sesi temu duga di reruai KDN melibatkan panel daripada pelbagai bahagian, dan mereka akan mengenal pasti calon sesuai untuk jawatan yang ada,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Fauzan Zainuldin, 20, yang baru tamat pengajian tahun lepas, berkata Karnival Kerjaya MYFuture Job kali ini dilihat membuka peluang kepada graduan untuk mencari pekerjaan sesuai berdasarkan kelayakan yang ada.
“Saya telah pergi ke beberapa majikan untuk proses temu duga di sini, dan rata-ratanya memberikan maklum balas yang baik. Harap saya akan menerima berita baik tidak lama lagi," katanya yang masih mencari kerja tetap.
-- BERNAMA