KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran tinggi kepada ketua jurulatih perseorangan negara yang baharu Kenneth Jonassen, untuk melahirkan pemain berkelas dunia, dan memastikan Malaysia memenangi pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28).
Pemangku Presiden BAM Datuk V. Subramaniam berkata Jonassen akan bekerjasama rapat dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky bagi mencapai matlamat itu.
“Sasaran kami sudah tentu melahirkan pemain terbaik dunia untuk layak ke Sukan Olimpik dan membawa pulang pingat emas. Beliau (Jonassen) perlu bekerjasama dengan Rexy, jadi mereka bertanggungjawab membawa pulang pingat emas pertama ke Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM di ABM di sini hari ini.
Beliau berkata pelantikan Jonassen dibuat dengan sangat teliti dan teratur.
Subramaniam berkata ada beberapa calon lain yang mengintai jawatan berkenaan, namun BAM merasakan jurulatih berpengalaman dari Denmark itu adalah individu yang tepat untuk meningkatkan prestasi pasukan perseorangan negara.
“Kami juga melihat calon dari Asia, tetapi akhirnya kami telah menyenarai pendek kepada Kenneth (Jonassen). Tidak ada sebab tertentu, yang penting beliau menjalankan tugas, mempunyai rekod prestasi yang baik dan tiada masalah,” katanya.
Sementara itu Rexy mengaku beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan Jonassen.
Rexy berkata pelantikan itu adalah tepat, terutama bagi meningkatkan tahap prestasi para pemain perseorangan negara selepas jurulatih berusia 50 tahun itu dilihat menunjukkan minat terhadap potensi yang dimiliki pemain muda Justin Hoh ketika beraksi pada Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, April lepas
“Waktu terserempak di tandas, dia (Jonassen) tanya berapa umur Justin, saya jawab 20 tahun, di situ dia tertarik tentang Justin. Jadi berbalik kepada soalan sasaran (emas) di LA28, saya rasa itu sasaran yang realistik kerana usia Justin masih 20 tahun.
“Kita tahu Kenneth mempunyai pengalaman, dia sudah membimbing Viktor (Axelsen) dan Anders (Antonsen) jadi pemain terbaik, dan Axelsen telah memenangi dua pingat emas Olimpik (Tokyo 2020 dan Paris 2024),” kata Rexy, sambil menambah Jonassen seorang jurulatih yang sangat teliti.
BAM hari ini mengumumkan pelantikan Jonassen, sekali gus menamatkan teka-teki mengenai posisi jurulatih berkenaan.
Jonassen yang menandatangani kontrak selama empat tahun akan memulakan tugas secara rasmi bermula 4 Jan 2025, dan sebahagian daripada tugas beliau adalah merangka pelan pembangunan jangka panjang bagi program perseorangan Malaysia bersama Rexy.
Rekod prestasi Jonassen telah terbukti selepas beliau memainkan peranan penting dalam membentuk legasi badminton Denmark selama 13 tahun, selain pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih England.
Bekas pemain nombor dua dunia itu pernah memenangi gelaran berprestij seperti Terbuka Jerman, Korea, Belanda dan Singapura sepanjang kariernya.
-- BERNAMA