DUNIA

Perjanjian Gencatan Senjata Antara Israel-Hizbullah Berkuat Kuasa Rabu

27/11/2024 12:49 PM

BAITULMAQDIS, 27 Nov (Bernama-AA) -- Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hizbullah hasil perantaraan Amerika Syarikat dan Perancis mula berkuat kuasa pada Rabu, 4 pagi waktu tempatan.

Di bawah perjanjian itu, Angkatan Bersenjata Lubnan akan ditempatkan ke selatan Lubnan dalam tempoh 60 hari, manakala Israel secara beransur-ansur akan mengundurkan baki tenteranya.

Perjanjian itu juga memerlukan Hizbullah memindahkan tenteranya ke utara Sungai Litani, lapor Agensi Anadolu.

Presiden AS Joe Biden menegaskan walaupun tiada kehadiran tentera Amerika di selatan Lubnan, "kami, bersama Perancis dan pihak lain akan menyediakan bantuan yang diperlukan untuk memastikan perjanjian ini dilaksanakan sepenuhnya dan berkesan."

“Orang awam di kedua-dua pihak tidak lama lagi akan dapat kembali dengan selamat ke komuniti masing-masing dan memulakan proses membina semula rumah, sekolah, ladang, perniagaan, serta kehidupan mereka," kata Biden.

Menurut laporan, antara 5,000 hingga 10,000 anggota tentera Lubnan akan dikerah ke kawasan antara sempadan Israel-Lubnan dan Sungai Litani.

Langkah ini bertujuan menghalang pengukuhan semula kumpulan bersenjata, selaras dengan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 55 orang terbunuh akibat serangan Israel pada Isnin, menjadikan jumlah korban sejak Oktober 2023 kepada 3,823 orang.

Sebanyak 160 orang lagi cedera dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kecederaan kepada 15,859.

-- BERNAMA-AA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy