AM

2TM: Pengunjung Intai Peluang Keusahawanan Di Reruai KUSKOP

24/11/2024 12:18 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan tidak melepaskan peluang mengunjungi reruai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menyediakan khidmat konsultasi keusahawanan dan koperasi secara percuma.

Diadakan selama tiga hari sejak Jumaat, sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pengunjung yang singgah ke reruai itu rata-ratanya merupakan usahawan atau koperasi yang ingin meneroka prospek baharu, memperluaskan jaringan keusahawanan menerusi bantuan dan bimbingan agensi terlibat.

Menurut Ezwan Hamdi Ellias, wakil Koperasi Anak-Anak Melayu Gombak Berhad (KOWAGA), inisiatif kerajaan ini adalah peluang yang tidak wajar dilepaskan. Beliau menggalakkan usahawan hadir secara bersemuka untuk mendapatkan maklumat langsung daripada wakil agensi mengenai potensi memperluas perniagaan hingga ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata tujuannya hadir ke reruai itu adalah untuk mendapatkan khidmat konsultasi daripada SME Corp berkaitan peluang padanan perniagaan koperasinya dan geran yang ditawarkan.

“Orang kita mungkin sudah terbiasa menunggu sahaja peluang, tapi saya datang sini mewakili koperasi saya rebut sebarang peluang yang mereka tawarkan. Insya-Allah ada hasilnya nanti,” katanya.

Seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Howard berkata beliau berkunjung ke reruai KUSKOP bagi mengintai peluang perniagaan atau kolaborasi yang sesuai untuk syarikatnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Unit Komunikasi Korporat KUSKOP Norazean Hassan berkata khidmat konsultasi dan perkhidmatan geran pembiayaan agensi KUSKOP, merupakan antara tarikan utama yang menarik perhatian pengunjung ke reruai tersebut.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan oleh petugas agensinya termasuk kuiz Kahoot dan cabutan bertuah, yang bertujuan mempromosikan pencapaian program dan inisiatif KUSKOP sepanjang dua tahun ini.

“Sepanjang program tiga hari ini, jemputlah datang kerana kita turut menyediakan kopi percuma sepanjang hari dan nasi lemak pada sebelah pagi buat pengunjung yang dibawakan khas oleh usahawan bimbingan agensi kita,” katanya.

Antara aktiviti lain yang disediakan untuk pengunjung di reruai KUSKOP ialah pameran produk Satu Daerah Satu Industri (SDSI), produk pemasaran dalam talian (MyMall), produk berorientasikan pelancongan dari setiap negeri (Kirana) di samping pendaftaran status Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) oleh SME Corp dan pendaftaran Usahawan MyMall, katanya.

Norazean turut memaklumkan segmen Jualan Rahmah MADANI diketuai oleh KUSKOP selaku jawatankuasa jualan kali ini, bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan pelbagai barang pada harga yang berpatutan.

Bertemakan ‘MADANI di Hati, Rakyat Disantuni’, program 2TM itu yang akan melabuhkan tirai hari ini menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada kementerian, agensi serta jabatan kerajaan kepada rakyat selain pelbagai aktiviti dan tawaran menarik menanti orang ramai antaranya reruai usahawan, kaunter bayaran saman, penukaran topi keledar serta Jualan Rahmah MADANI.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy