SUKAN

Fandi Hampa Kesilapan Minit Akhir Punca Sri Pahang FC Catat Seri

24/11/2024 10:56 AM

TEMERLOH, 24 Nov (Bernama) -- Ketua Jurulatih Sri Pahang FC Fandi Ahmad hampa apabila skuad bimbingannya setakat mencatat keputusan seri 1-1 berdepan Selangor FC pada aksi pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh di sini malam tadi.

Beliau berkata para pemain telah mempamerkan aksi cemerlang untuk menguasai permainan selain sering melancarkan serangan bahaya ke gawang lawan.

"Pemain kita bermain sangat baik, bekerja keras dan mengikut setiap arahan diberi tetapi kesilapan pada minit-minit akhir menyebabkan kita seri," katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.

Legenda Singapura itu berkata keputusan mungkin berbeza sekiranya mereka berjaya  menterjemahkan peluang yang diperolehi di hadapan gawang lawan kepada jaringan.

Fandi turut mengakui anak buahnya berdepan tugas berat apabila berdepan Selangor FC dalam aksi timbal balik pada 1 Dis ini.

Sementara itu, pengendali Selangor FC Abdifitaah Mohamed Hassan berkata perancangannya kurang menjadi susulan keadaan padang becak yang memaksa pemain menggunakan hantaran lambung.

"Kami ada strategi permainan untuk menang tetapi keadaan padang menyebabkan ia sukar dilaksanakan berbanding pihak lawan. Namun kami berjaya mencipta begitu banyak peluang  dan seharusnya kami mendapat lebih banyak gol," katanya.

Mengenai penyerang sensasi The Red Giants Faisal Abdul Halim yang disenaraikan dalam kesebelasan utama, beliau percaya pemain berkenaan semakin cergas.

"Saya memerhatikan Faisal semasa latihan dan dia dilihat kembali memiliki sentuhan hebatnya, diharap dia terus dapat membantu kami," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy