KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Jurulatih Jepun, Katsuhito Kinoshi, dilantik sebagai Ketua Jurulatih Selangor FC yang baharu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Nidzam Jamil, yang meletak jawatan secara mengejut bulan lepas.
Selangor mengumumkan perkara ini dalam kenyataaan tengah malam tadi, menyifatkan Kinoshi seorang jurulatih berpengalaman luas serta akan membawa pengetahuan mendalam tentang permainan dan ciri-ciri kepimpinan yang kukuh.
Pelantikan Kinoshi juga menjadi tanda skuad Gergasi Merah sedang memasuki satu fasa baharu yang penuh potensi.
“Kepakaran beliau dalam membangunkan pasukan, strategi, serta pembangunan pemain muda pasti akan menjadi aset besar kepada pasukan kami dalam usaha mencapai kejayaan.
“Kepakaran beliau (Kinoshi) dalam kejurulatihan, bersama dengan pengalaman yang beliau peroleh daripada bekerja dengan beberapa jurulatih terkemuka, akan memberikan pasukan hala tuju dan identiti yang diperlukan untuk berjaya,” menurut kenyataan itu.
Berkongsi keterujaannya, Kinoshi berkata menyertai Selangor adalah satu penghormatan buat dirinya dan beliau teruja untuk bekerja dengan pemain-pemain berbakat pasukan itu.
“Bersama-sama, kami akan berusaha untuk membina sebuah pasukan yang bukan sahaja kukuh dari segi taktikal, tetapi juga penuh dengan semangat dan tekad untuk berjaya,” kata jurulatih kelahiran Tokyo berusia 60 tahun itu.
Antara detik penting dalam perjalanan kejurulatihan Kinoshi adalah apabila beliau berpeluang untuk bekerjasama dengan dua figura terkenal dalam dunia kejurulatihan bola sepak iaitu Dragan Stojkovic dan Giovanni van Bronckhorst, selain Akira Nishino.
Kerjasama Kinoshi dan Stojkovic yang merupakan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Serbia, berjaya melayakkan pasukan itu ke Piala Dunia 2022 di Qatar.
Selangor kini di kedudukan kedua Liga Super 2024/2025, ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengumpul 40 mata selain masih bersaing dalam kempen Piala Malaysia.
Dalam kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2 (ACL2) 2024/25, Selangor berada di landasan tepat untuk layak ke pusingan kalah mati apabila ketika ini berada di tempat kedua Kumpulan H, dua mata di belakang pendahulu Jeonbuk Hyundai Motors dari Korea Selatan.
-- BERNAMA