AM

Guru KV Keningau Rakyat Malaysia Pertama Juarai Anugerah Inovasi British Council

24/11/2024 06:08 PM

Oleh Jeilnyly Masal

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi Anugerah Inovasi Bahasa Inggeris (ELTons), anjuran British Council selepas dinobatkan juara kategori Inovasi Tempatan pada pertandingan berprestij itu.

Kemenangan Sirhajwan Idek, 37, pada ELTons 2024 diraih menerusi projek Virtual Remote Live (VRL) yang diumumkan portal British Council, Rabu lepas bersama pemenang empat kategori lain.

Guru kelahiran Kota Belud itu berkata projek VRL antara lain membolehkan pelajar dan guru di seluruh dunia berinteraksi menerusi beberapa aktiviti dalam talian iaitu kelas induk, pembentangan persidangan dan kelas pertukaran budaya.

“Projek itu berjaya melibatkan penyertaan lebih 2,000 pelajar serta guru dari Malaysia dan beberapa negara lain. Melalui sesi dalam talian yang telah dilaksanakan, mereka mempelajari pelbagai topik serta membentangkan hasil kerja sambil mempraktikkan bahasa Inggeris,” katanya kepada Bernama hari ini.

ELTons merupakan anugerah berprestij di peringkat global bagi mengiktiraf hasil usaha inovasi bahasa Inggeris dalam bidang pengajaran, pembelajaran dan penilaian.

Sirhajwan berkata pertandingan itu melibatkan penyertaan dari seluruh dunia pada setiap tahun bagi kesemua lima kategori yang dipertandingkan British Council .

“Kategori yang saya sertai ini melibatkan penyertaan dari 60 buah negara dengan empat projek berjaya terpilih ke peringkat final.

“Saya akhirnya diumumkan sebagai pemenang dan menjadi rakyat Malaysia pertama yang memenangi anugerah ELTons British Council," katanya.

Beliau berkata banyak pelajar berjaya mengaplikasikan apa yang mereka pelajari hasil aktiviti VRL dan seterusnya dapat mengembangkan impak projek masing-masing.

“Saya gembira dengan kemenangan ini kerana ia bermakna VRL telah membawa perubahan positif kepada dunia pendidikan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada ibu, Bintek Abdul Rahman yang juga bekas guru atas bimbingannya selama ini,” kata anak bongsu daripada tujuh adik-beradik itu.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau Nordin Akup mengucapkan tahniah kepada Sirhajwan kerana berjaya meneroka pelbagai peluang yang dapat menggilap bakat pelajar.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy