AM

Kerajaan Kedah Umum Belanjawan 2025 Berjumlah RM1.26 Bilion

24/11/2024 04:26 PM

ALOR SETAR, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kedah hari ini membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM1.26 bilion bagi tujuan pengurusan dan pembangunan negeri tersebut pada tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata defisit yang dianggarkan untuk 2025 adalah sebanyak 12.65 peratus, atau RM99.9 juta.

"Kerajaan negeri menganggarkan jumlah hasil pada 2025 adalah sebanyak RM790 juta dengan peningkatan RM42 juta berbanding anggaran 2024," katanya semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2025 di Dewan Undangan Negeri Kedah di sini, hari ini.

Menurutnya hasil kutipan hasil pada 2025, akan dibahagikan kepada beberapa kategori, antaranya hasil tanah sebanyak RM518.04 juta, pelbagai hasil (RM219.71 juta), hasil hutan (RM35.73 juta) dan hasil daerah (RM16.52 juta).

"Perbelanjaan mengurus bagi 2025 adalah sebanyak RM889.9 juta dengan RM87.2 juta diperuntukkan sebagai Caruman Kumpulan Wang Pembangunan Negeri untuk menampung defisit," katanya.

Muhammad Sanusi berkata perbelanjaan mengurus melibatkan pecahan peruntukan bagi tujuan perbelanjaan tanggungan berjumlah RM82.84 juta dan perbelanjaan perbekalan berjumlah RM807.06 juta.

"Anggaran perbelanjaan ini meningkat sebanyak 4.3 peratus atau RM36.79 juta. Ia disebabkan kenaikan emolumen penjawat awam susulan pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula Disember ini," katanya.

Beliau berkata lagi anggaran perbelanjaan pembangunan negeri pula berjumlah RM209.8 juta melibatkan 10 jabatan pelaksana.

"Bajet 2025 dirangka dengan meneruskan kesinambungan agenda membangunkan negeri berpaksikan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan The Greater Kedah berlandaskan konsep Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua,"  katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy