PADANG BESAR, 24 Nov (Bernama) -- Program Jualan Agro MADANI Khas Sempadan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM170,112 dengan penglibatan 13 siri pelaksanaannya di negeri-negeri sempadan Malaysia–Thailand setakat ini.
Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli berkata program itu melibatkan empat negeri, iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan melibatkan 231 usahawan serta memberikan manfaat kepada 5,670 pengguna dan 22,682 isi rumah dengan penjimatan keseluruhan sebanyak RM51,033.
“Di Perlis sahaja, sebanyak empat kali program ini dilaksanakan melibatkan kawasan Wang Kelian dan Padang Besar dengan nilai jualan berjumlah RM51,415. Ia melibatkan 106 usahawan, memberikan manfaat kepada 6,848 isi rumah dengan nilai penjimatan RM15,425,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jualan Agro MADANI Khas Sempadan dan High Profile Policing PDRM X FAMA di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim.
Aminuddin berkata jualan khas sempadan itu dianjurkan bagi menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan sempadan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Sept lepas untuk Perutusan Khas "Peningkatan Ketara Rakyat Malaysia Melancong Ke Thailand".
“Sempadan Malaysia–Thailand mempunyai tarikan tersendiri, tetapi apa yang kita lihat buat masa ini, tarikan ke luar lebih dominan. Jadi, daripada membiarkan pengeluaran wang berlaku begitu saja, kami cari pendekatan untuk menanganinya.
“Melalui penganjuran aktiviti ini, kita juga boleh menjadikan kawasan sempadan sebagai tarikan kepada penduduk negara jiran untuk datang ke sini,” katanya.
Mengenai penganjuran Program Jualan Agro MADANI Khas Sempadan dan High Profile Policing PDRM X FAMA hari ini, beliau berkata program itu turut menyediakan kemudahan diskaun 30 peratus untuk saman trafik dikeluarkan PDRM Perlis.
-- BERNAMA