AM

Jenazah Ahmad Nawab Selamat Dikebumikan

25/11/2024 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Jenazah komposer terkenal Allahyarham Tan Sri Dr Ahmad Nawab, 92, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di sini pada 11.10 pagi.

Terdahulu, jenazah dikafan dan disolatkan di Surau At-Tarbiah Al Islamiah, Taman Melewar sebelum dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 10.40 pagi.

Lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, kenalan dan rakan artis hadir memberi penghormatan terakhir.

Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Taman Melewar, Gombak petang semalam.

Memulakan karier muzik sejak berusia 16 tahun, Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ketujuh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman, terutama dalam bidang muzik.

Sementara itu, anak lelakinya Nasir Khan, 62, berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga dalam keadaan tenang. 

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata arwah bapanya sebelum itu mengalami demam dan kesukaran bernafas, namun tidak menghidap sebarang penyakit kronik.

Berkongsi tentang perwatakan arwah, Nasir berkata walaupun bapanya itu kelihatan serius, namun arwah sangat baik dan sukar melihatnya marah.

“Dia memang tidak pernah marah serta seorang yang tenang selain sangat berbakat dalam bidang muzik. Dari segi muzik, dia terlalu mendorong … walaupun saya anaknya, tetapi tidak boleh menjadi sama seperti arwah," katanya yang juga merupakan seorang komposer sambilan.

Menurut Nasir, terdapat perancangan untuk menghasilkan buku nota muzik melibatkan kira-kira 2,000 lagu hasil ciptaan bapanya itu dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures.

"Ada juga perancangan daripada pihak Pulau Pinang untuk membuat muzium sebab kita ada rumah di Kedah, namun sedang dalam peringkat pembentangan setakat ini," katanya.

Sementara itu, penyanyi Ramlah Ram menyifatkan pemergian maestro muzik itu sebagai satu kehilangan besar buat dirinya memandangkan Allahyarham banyak membantu pada peringkat awal kariernya dalam nyanyian sehingga menempa nama dan kekal hingga kini dalam industri hiburan.

“Semua orang tahu dari awal penglibatan saya dalam bidang hiburan ialah bersama-sama arwah, lagu-lagu saya dari awal seperti Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu ialah ciptaan arwah, kejayaan besar saya pun bersama-sama arwah.

“Jadi, memang saya amat terasa dengan pemergian ini, sampai terkejut sebab terkilannya saya tak dapat lihat arwah (ketika sakit) … dah lama tak jumpa dan tak tahu pasal dia sakit sebab dia inginkan privasi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian itu.

Penyanyi tersohor Indonesia, Hetty Koes Endang pula berkongsi bahawa setiap lagu ciptaan Allahyarham yang dinyanyikan mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga "berbekas dan menusuk ke hati" penyanyi itu. 

"Apabila bunda merakam lagu Allahyarham, beliau akan tunggu di studio, setiap lagu ciptaan Ahmad Nawab yang saya nyanyikan pasti masuk dalam hati saya kerana sangat melodis dan saya akan nyanyi dengan penuh penghayatan,” katanya.

Penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M Nasir pula melihat Allahyarham Ahmad Nawab sebagai mentor yang banyak menyumbang dan bertanggungjawab melahirkan ramai nama besar dalam dunia seni suara.

“Tak ramai orang yang dapat buat begitu, Allahyarham telah berjaya menghasilkan ramai penyanyi besar tanah air dari dekad ke dekad. Tahun 70-an memang tahun dia … dia raja pada tahun itu,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy