KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Individu seperti pelajar dan profesional boleh meneroka peluang bagi peningkatan kemahiran dan latihan semula, laluan kerjaya baharu berpotensi selain mengenal pasti jawatan yang terjejas akibat Kecerdasan Buatan (AI) serta kemahiran digital di platform MyMAHIR.
Platform itu, yang baru dilancarkan, boleh diakses melalui www.mymahir.my/home.
Antara elemen penting pada halaman khusus platform itu ialah ‘In-Demand Roles’ yang memberikan maklumat kepada pengguna mengenai jawatan dengan carian tinggi kerana prospek kerjayanya yang kukuh, gaji yang kompetitif dan permintaan tinggi untuk calon berkelayakan.
MyMAHIR akan memberikan huraian kerja, kemahiran asas dan khusus yang diperlukan bagi jawatan yang dipilih serta membolehkan pengguna membandingkan sifat kerja dengan kemahiran diperlukan untuk setiap jawatan.
Pada halaman khususnya, platform itu turut mengetengahkan ‘Emerging Roles’ atau jawatan baharu muncul susulan kemajuan teknologi, trend sektor atau keperluan pasaran yang menawarkan peluang untuk pertumbuhan dan inovasi.
Ia turut menggariskan kemahiran iaitu sama ada asas, khusus dan teknologi sebagai panduan kepada pengguna di laman utama MyMAHIR.
Selain itu, pengguna boleh mengambil ujian untuk menilai tahap kemahiran semasa mereka dan mengenal pasti bidang untuk penambahbaikan kerana platform tersebut menawarkan cadangan peningkatan kemahiran serta latihan semula yang disesuaikan berdasarkan keputusan sekali gus membantu individu menyelaras kecekapan mereka dengan keperluan pekerjaan yang baharu muncul.
Pengguna MyMAHIR boleh mengakses sumber, program latihan dan nasihat kerjaya untuk menyokong pembangunan kerjaya mereka selain peralihan kepada jawatan yang mendapat permintaan tinggi serta mengakses perpustakaan jawatan yang luas dan meneroka peluang kerjaya berdasarkan kebolehan mereka.
Pada 18 Nov lepas, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata platform digital komprehensif MyMAHIR yang dibangunkan untuk melengkapkan bakat Malaysia dengan kemahiran masa depan akan menjadi panduan mengenai trend industri, peranan pekerjaan, kemahiran diperlukan, laluan kerjaya dan program latihan yang terdapat dalam pelbagai sektor.
Beliau berkata dengan mengintegrasikan hasil Kajian Impak Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) berkaitan Al, pendigitalan dan ekonomi hijau, platform itu akan berfungsi sebagai sumber berpusat serta taksonomi kemahiran bagi membantu pihak berkepentingan menyediakan tenaga kerja untuk perubahan masa depan.
Platform MyMAHIR telah dibangunkan oleh TalentCorp dengan tumpuan utama bagi mengenal pasti kemahiran kritikal dan mencipta bersama program latihan yang disesuaikan.
Sementara itu, Sim berkata kementeriannya memperuntukkan RM3 bilion mulai tahun 2025 bagi memperkukuh tenaga kerja tempatan dan kebolehsuaiannya sebagai respons kepada kemajuan teknologi yang pantas serta permintaan industri yang sering berubah.
Beliau berkata peruntukan itu akan disalur melalui pelbagai agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja yang menguruskan 33 institut Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), TalentCorp serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Peruntukan ini juga akan disalur menerusi pelbagai langkah sokongan termasuk levi, kredit, biasiswa dan geran padanan.
-- BERNAMA