SEREMBAN, 25 Nov (Bernama) -- Negeri Sembilan berpotensi dibangunkan sebagai negeri perindustrian, sekali gus dapat meningkatkan hasil negeri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Chennah Anthony Loke.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata sejajar dengan Malaysia yang kini menjadi minat pelabur asing, maka peluang berkenaan perlu dimanfaatkan oleh setiap negeri.
"Negeri Sembilan perlu memanfaatkan kelebihan ini dengan melipatgandakan usaha menarik pelabur datang ke negeri ini... fokus bagaimana mahu menarik mereka (pelabur). Selain itu, kerajaan negeri juga perlu mencari satu kawasan atau tapak perindustrian lebih sesuai dibangunkan secara spesifik.
“Sebelum ini, Nilai dan Enstek dikenal pasti sebagai hab logistik negara… saya yakin banyak lagi kawasan perindustrian dapat dibangunkan di Negeri Sembilan sekali gus menjadi negeri perindustrian," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan) pada persidangan DUN Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau berkata Negeri Sembilan juga akan memiliki pelabuhan kontena di Pasir Panjang, Port Dickson, justeru kawasan perindustrian berskala besar perlu dibangunkan di sekitar daerah itu bagi membolehkan pelabuhan kontena terbabit dapat beroperasi dengan lebih berkesan.
"Banyak kawasan di Port Dickson boleh dibangunkan sebagai kawasan industri yang berdaya saing dan maju. Hasil kerajaan negeri akan bertambah… premium tanah dan cukai taksiran juga akan bertambah sekiranya banyak kawasan perindustrian dibangunkan.
"Apabila kita (Negeri Sembilan) sudah mempunyai hasil yang banyak, dapatlah nanti kita kembalikan semula kepada rakyat dengan melaksanakan lebih banyak inisiatif untuk rakyat," katanya.
Sementara itu, Saiful Yazan Sulaiman (BN-Johol) berkata menerusi Belanjawan Negeri Sembilan 2025, peruntukan kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini perlu ditingkatkan bagi memastikan lebih 4,000 penduduk dari 43 kampung berdaftar tidak terpinggir.
Beliau berkata kerajaan negeri juga perlu menambah baik infrastruktur dan memperbanyak program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk dimanfaatkan oleh masyarakat Orang Asli.
Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN-Jeram Padang) turut bersetuju supaya TVET diperluas di luar bandar dan program pelaksanaan perlu dihebah secara menyeluruh kepada pelajar di kawasan terbabit.
Persidangan DUN bersambung esok.
-- BERNAMA