DUNIA

Indonesia Peroleh Pembiayaan Hijau Berjumlah €1.2 Bilion, Majukan Peralihan Tenaga Boleh Diperbaharui

25/11/2024 06:13 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan Indonesia memperoleh pembiayaan hijau berjumlah €1.2 bilion untuk sektor tenaga daripada Kreditanstalt für Wiederaufbau (KfW) bagi menyokong pembangunan pelbagai infrastruktur tenaga hijau, sekaligus memajukan peralihan tenaga lestari negara.

Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara PT PLN (Persero) dan KfW semasa Persidangan Pihak-Pihak Ke-29 (COP29) di Baku, Azerbaijan pada 13 Nov lalu.

PLN merupakan syarikat elektrik milik Indonesia, manakala KfW merupakan sebuah bank pembangunan milik kerajaan Jerman yang beribu pejabat di Frankfurt.

Duta Khas Presiden Indonesia, Hashim Djojohadikusumo pada persidangan itu berkata kerajaan Indonesia komited untuk mengurangkan pelepasan karbon melalui peralihan tenaga.

Beliau berkata peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dijangka dapat meningkatkan energy self-sufficiency dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

“Kami telah membangunkan strategi baharu untuk tempoh lima tahun akan datang bagi mencapai pertumbuhan ekonomi lestari sekurang-kurangnya lapan peratus,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PLN pada Isnin.

Beliau menekankan bahawa pembangunan sumber tenaga bersih adalah penting untuk meningkatkan daya saing industri Indonesia.

Dalam tempoh 15 tahun akan datang, negara ini menyasarkan peningkatan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 75 peratus, menyumbang kepada penambahan 100 gigawatt kapasiti elektrik yang dirancang.

“Kami amat menghargai kerjasama antarabangsa yang terjalin, yang merupakan bukti usaha kolektif kami dalam mencapai sasaran Pelepasan Sifar Bersih,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy