Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri penurunan tiga hari berturut-turut untuk ditutup lebih tinggi hari ini, berikutan pengukuhan harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT), kata peniaga minyak sawit David Ng.
Beliau berkata jangkaan keluaran yang lebih lemah pada minggu-minggu akan datang turut mempengaruhi sentimen pasaran.
"Kami mengesan sokongan harga pada paras RM4,600 satu tan dan rintangan pada RM4,850 satu tan," kata Ng kepada Bernama.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani berkata kenaikan cukai eksport minyak sawit Indonesia dan levi pada Disember 2024 telah meningkatkan kemungkinan lantunan semula dalam niaga hadapan minyak sawit Malaysia.
“Bagaimanapun, pasaran masih skeptikal terhadap mandat biodiesel B40 Indonesia, sama ada ia bermula dari 1 Jan 2025 atau akan ditangguhkan,” katanya.
Anilkumar juga berkata prestasi eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 20 November, dianggarkan oleh Intertek Testing Services, turun sebanyak 5.32 peratus atau 981,687 tan.
Ini diikuti oleh anggaran AmSpec Agri Malaysia yang menunjukkan pengurangan sebanyak 1.38 peratus, pada 963,302 tan daripada anggaran eksport masing-masing bagi tempoh 1 hingga 20 Oktober.
Pada penutup, kontrak bulan semerta Disember 2024 meningkat sebanyak RM39 kepada RM4,829 setan, kontrak Januari 2025 menokok sebanyak RM53 kepada RM4,767 setan dan Februari 2025 naik RM57 kepada RM4,699 setan.
Kontrak Mac 2025 bertambah RM60 kepada RM4,607 satu tan, kontrak April 2025 mengukuh RM56 kepada RM4,514 setan dan kontrak Mei 2025 mencatatkan keuntungan sebanyak RM56 kepada RM4,429 setan.
Jumlah dagangan menguncup kepada 55,017 lot berbanding 95,229 lot sebelum ini, manakala kepentingan terbuka susut rendah kepada 235,537 kontrak daripada 239,907 kontrak sebelumnya .
Harga MSM fizikal untuk Selatan Disember kekal tidak berubah pada RM4,950 satu tan.
-- BERNAMA