POLITIK

MT UMNO Tarik Balik Penggantungan Enam Tahun Keahlian Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak

25/11/2024 11:21 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Majlis Tertinggi (MT) UMNO menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media selepas mesyuarat MT di sini malam ini, memaklumkan keputusan sebulat suara itu dibuat selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan parti.

“MT sebulat suara melepaskan dan menarik semula penggantungan keahlian Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Tajuddin sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti itu.

Beliau dilaporkan telah mengemukakan rayuan sebanyak empat kali, namun masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada parti.

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut memaklumkan mengenai pelantikan Pengerusi Veteran UMNO Malaysia Datuk Othman Desa sebagai ahli MT UMNO.

“Majlis Tertinggi mengucapkan tahniah atas pelantikan Pengerusi Veteran UMNO Malaysia Datuk Othman Desa sebagai ahli MT,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat pada malam ini antara lain turut membincang dan memperincikan tentang Kerajaan MADANI yang genap dua tahun Sabtu lepas, yang terbukti menjadi formula ampuh berteraskan semangat perpaduan dan kepelbagaian kaum dan agama.

“Ia perlu terus didukung dan dipertahankan demi kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara. Ahli mesyuarat juga bersepakat meminta supaya segala usaha untuk memperkukuh dan mempererat lagi hubungan dalam kalangan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, untuk terus dipertingkatkan.

“MT juga meminta supaya semua wakil UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sama ada yang memegang amanah parti dalam Jemaah Menteri mahupun agensi-agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, mesti terus meningkatkan prestasi kerja dengan cemerlang demi rakyat dan negara,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan ialah mengenai UMNO akan memulakan Sekolah Politik yang akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia bermula awal tahun hadapan, memfokuskan kepada ilmu-ilmu asas kenegaraan, perlembagaan, dinamika politik demokrasi, politik khidmat dan bakti kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy