KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Edisi sulung IRAMA ASLI & ASAL 2024 yang berakhir pada Ahad lalu berjaya mencatat kejayaan besar, menarik kehadiran ramai pengunjung dan sampai ke khalayak antarabangsa melalui penstriman di media sosial.
Pesta budaya yang dianjurkan oleh Yayasan Kesenian Orang Asli & Asal (YKOA) bukan sahaja meraikan budaya peribumi Malaysia, malah menjadi platform penting untuk mengumpul dana bagi projek perubatan YKOA untuk komuniti peribumi.
Menurut kenyataan pasca-acara daripada YKOA, acara selama tiga hari di The Square, Publika, mencatat sambutan luar biasa dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Nik Muhamad Faiszulikwan, wakil dari Istana Budaya, bersama Pengerusi YKOA, Dr. Andre Ratos.
Turut hadir, Senator Bob Manolan, wakil Orang Asli di Dewan Negara, yang banyak mendokong pemeliharaan budaya dan kesejahteraan komuniti. Mereka yang lain di sebalik projek ini, termasuk Datin Pearl Jai Mohan, Dato Wong Yew Kai, dan Dato Chua Soon Bui (bekas Ahli Parlimen Tawau), turut memberikan sumbangan mereka.
Salah satu acara yang menjadi tumpuan adalah persembahan menyentuh jiwa oleh Christabelle Tatti, Duta Miss Sarawak IBF’24, yang berganding bersama Anderson Kalang dalam lagu duet "You Are the Reason".
Kolaborasi mereka menampilkan gabungan seni tradisional dan kontemporari yang memukau penonton, menurut kenyataan itu.
Pengunjung tempatan dan pelancong turut terpesona dengan penampilan suku kaum Bateq yang jarang dilihat, mengenakan kostum kulit kayu tradisional. Dengan tubuh sasa hasil aktiviti harian mencari hasil hutan, mereka berkongsi kemahiran bertahan hidup dengan para peserta.
Acara ini bermula secara rasmi pada Jumaat (22 Nov) dengan bazar yang menawarkan pelbagai kraftangan peribumi, perhiasan, dan makanan tradisional daripada 15 vendor peribumi.
Kejayaan acara tahun ini menjadi asas kepada inisiatif masa depan YKOA, sekali gus meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap komuniti peribumi Malaysia, kata Dr. Ratos.
-- BERNAMA