KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Sebanyak 22 jurulatih akademi daripada Liga Malaysia telah menyertai bengkel kejurulatihan akademi, yang dianjurkan buat julung kalinya hasil kerjasama antara LaLiga dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan bengkel tersebut, menampilkan seorang jurulatih LaLiga daripada ibu pejabatnya di Madrid yang memberikan latihan, serta memperkenalkan model permainan LaLiga dan konsep utama berdasarkan profil pemain liga tersebut.
Sesi khas itu dibahagikan kepada dua skop pembelajaran utama iaitu metodologi dan alat intervensi dalam kejurulatihan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Giorgio Pompili Rossi berkata hubungan kerjasama antara MFL dan LaLiga yang telah terjalin sejak 2018, menyaksikan pelbagai aktiviti berkaitan perkongsian kepakaran dalam pengurusan bola sepak.
“Saya percaya bengkel pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi melibatkan jurulatih akademi Liga Malaysia ini, bukan sahaja mengeratkan hubungan kedua-dua organisasi, tetapi juga memberikan manfaat besar kepada para peserta.
“Kepakaran dan pengalaman LaLiga dalam membangunkan bakat muda, terutama melalui teknologi dan pendekatan bola sepak moden, sudah terbukti di peringkat antarabangsa. Jadi, satu peluang berharga untuk jurulatih tempatan menimba ilmu daripada jurulatih LaLiga menerusi bengkel ini,” katanya.
Sementara itu, wakil delegasi LaLiga di Malaysia Adrian Prol menyatakan keyakinannya, terhadap potensi besar bakat bola sepak Malaysia untuk berkembang pesat dalam masa beberapa tahun akan datang.
“Bola sepak belia Sepanyol amat dihargai di peringkat antarabangsa, terutama oleh jurulatih-jurulatih. LaLiga, dengan pengalaman lebih lapan tahun dalam pembangunan projek sukan antarabangsa, berharap dapat membawa perspektif baru di peringkat tempatan untuk memperkaya struktur pembangunan bola sepak belia,” katanya.
-- BERNAMA